Isnin, 10 Oktober 2016

Medan ujian terakhir sebelum pilih skuad Piala AFF

10 Oktober 2016 3:37 PM
Ong Kim Swee
ONG Kim Swee (dua, kanan) bersama Ketua Jurulatih Afghanistan, Peter Segrt (dua, kiri) ketika sidang akhbar sempena perlawanan persahabatan antarabangsa di Wisma FAM dekat Kelana Jaya hari ini. Turut hadir, kapten Harimau Malaysia, Muhammad Badrool Bakhtiar (kanan) dan kapten pasukan Afghanistan, Faysal Shayesteh (kiri). - BERNAMA
PETALING JAYA 10 Okt. - Perlawanan persahabatan menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam esok menjadi medan terakhir bagi pemain skuad kebangsaan untuk memikat hati ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee untuk mendapatkan tempat dalam skuad Piala AFF Suzuki 2016.

Kim Swee yang menyenaraikan lima muka baharu dalam senarai 30 pemain pada 21 September lalu untuk dua siri perlawanan persabahatan menentang Singapura dan Afghanistan mahu memberikan peluang kepada sebanyak mana pemain yang boleh sebelum memutuskan senarai akhir 25 pemain untuk kem latihan bulan hadapan.

Pasukan Harimau Malaysia itu kemudian dijangka mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea pada 14 November ini sebelum Kim Swee memuktamadkan senarai 23 pemain bagi Piala AFF yang akan bermula pada 19 November hingga 17 Disember ini.

"Saya perlu membina kombinasi baharu, beri mereka peluang untuk menarik perhatian saya dan pastikan mereka tahu apa yang saya mahukan daripada mereka sebagai satu pasukan.

"Maka ini merupakan tempoh terakhir bagi pemain untuk membuktikan kemampuan mereka," katanya pada sidang akhbar praperlawanan di Wisma FAM di sini hari ini.

Lima muka baharu yang dipanggil Kim Swee untuk kem latihan yang bermula 27 September lalu ialah Mohd. Syazwan Zainon dan Mohd. Rizal Mohd. Ghazali dari Kedah, Mohd. Fazrul Hazli Mohd. Kadri (Perak), Muhammad Hadin Azman (Felda United) serta Ahmad Khuzaimi Pee (Melaka).

Mengulas lanjut mengenai perlawanan esok menentang pasukan yang menghuni kedudukan ke-149 dalam ranking dunia, Kim Swee mahu setiap pemain mencipta kemenangan selain memahami konsep, taktikal dan kaedah perlawanan yang diterapkan.

"Seperti yang kita tahu, semua pasukan dari timur tengah memang mempunyai kekuatan yang seimbang di semua bahagian, lebih-lebih lagi apabila kebanyakan pemain Afghanistan ini sedang bermain di Liga Eropah.

"Selepas melihat aksi mereka menentang Singapura dan Lebanon sebelum ini, saya boleh kata mereka mempunyai pasukan yang seimbang di semua bahagian. Apa yang penting ialah kita perlu elak daripada dibolosi," katanya.

Kim Swee turut mengesahkan bahawa kebanyakan pemain berada dalam keadaan baik untuk perlawanan esok, kecuali Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Khairul Helmi Johari yang cedera. – BERNAMA

Sumber-UTUSAN MALASIA ONLINE 10 Oktober 2016 3:37 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan