Ahad, 2 Oktober 2016

‘Lebih baik panggil pemain lain’


30 September 2016 12:09 AM
KUALA LUMPUR 29 Sept. – Walaupun terpaksa menjalankan sesi latihan secara berperingkat, ditambah pula dengan isu tiga pemain dipanggil balik ke pangkuan kelab namun situasi tersebut tidak melunturkan semangat pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee daripada terus merencana strategi untuk menghadapi perlawanan minggu depan.
Ong Kim Swee

Kim Swee berkata dia sudah lali dengan situasi tersebut dan ini bukan pertama kali dia terpaksa melakukan sesi latihan secara berperingkat tetapi mengakui perkara tersebut sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada persiapan pasukannya.

Menurut Kim Swee, dia berpendapat memanggil pemain lebih awal seperti biasa untuk menjalani sesi latihan skuad kebangsaan tidak akan menimbulkan masalah dan tidak terlintas di fikirannya untuk membuat panggilan empat hari sebelum perlawanan seperti yang termaktub dalam peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Daripada memikirkan segala isu atau masalah ini lebih baik saya tumpukan kepada perkara lain. Contohnya memanggil pemain yang mungkin tidak me­nimbulkan masalah pada masa depan.

“Perkara seperti ini (sesi latihan lebih lama) sudah dilakukan sejak dari zaman bekas pengendali B. Sathianathan, Datuk K. Rajagobal dan Dollah Salleh. Apabila kita tidak mempunyai jadual perlawanan liga dan ada waktu lebih di situlah peluang kita panggil pemain untuk menjalani sesi latihan skuad kebangsaan.

“Kalau ikut peraturan FIFA memang ada kebenarannya iaitu melepaskan pemain empat hari sebelum perlawanan namun kita menghadapi tugas mencabar. Kebanyakan pasukan (yang bertanding dalam Piala AFF) menyiapkan diri lebih awal. Myanmar kini berada di Eropah manakala Vietnam akan ke Korea Selatan pada awal bulan depan.

“Jadi, ini menunjukkan walaupun ranking mereka lebih baik daripada kita tetapi mereka mengambil serius tentang persiapan,” tegasnya.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-lebih-baik-panggil-pemain-lain-8217-1.388733#sthash.uejyIHwx.dpuf


Tiada ulasan:

Catat Ulasan