Harimau Malaysia ikat
Afghanistan 1-1 malam kelmarin.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Haluan skuad
Harimau Malaysia menjelang saingan sebenar Piala AFF pertengahan November ini
tampak berada di landasan tepat susulan kejayaan pasukan kendalian Datuk Ong
Kim Swee itu bangkit mengikat Afghanistan 1-1, malam kelmarin.
Menurut tonggak pertahanan
tengah negara, Shahrom Abdul Kalam, semangat juang yang dipamerkan rakan
sepasukannya dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam itu
menunjukkan bahawa pasukan kebangsaan sudah bersedia untuk bersaing di Myanmar
nanti.
Katanya, menerusi dua aksi
persahabatan bermula dengan perlawanan menentang Singapura Jumaat lalu sebelum
diuji Afghanistan malam kelmarin menyaksikan tahap kecergasan pasukan kini
semakin meningkat.
“Saya rasa tahap kecergasan
kami sejak aksi pertama (bertemu Singapura) makin baik dan meningkat. Ia
perkembangan yang sangat positif bagi kami ketika ini.
“Pasukan sedang cuba nak
dapatkan momentum semula selepas apa yang berlaku sebelum ini. Bagi saya, kami
dalam keadaan sangat positif sebab kami dapat bangkit kembali biarpun
ketinggalan.
“Paling nampak ketara sekali
ialah semangat melawan dengan keinginan pemain nak dapatkan gol. Semangat
pemain juga nampak baik dan saya rasa cukup gembira dengan suasana kem negara
ketika ini.
“Saya rasa banyak benda positif
yang berlaku sejak akhir-akhir ini,” katanya yang baru pulih daripada
kecederaan lutut yang menyaksikannya tersisih hampir tiga bulan.
Shahrom, 31, sebelum ini
terpaksa berehat panjang apabila mengalami kecederaan lutut ketika tugasan
bersama pasukan negara berdepan Papua New Guinea dalam aksi persahabatan
antarabangsa Siri Jelajah Oceania, Jun lalu.
Insiden itu menyaksikan pemain
kelahiran Kuala Lumpur itu tidak beraksi bersama Selangor, malah ketika
Malaysia berkunjung ke Solo, Indonesia namanya turut diketepikan.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Khamis, 13 Oktober 2016 @ 11:06 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan