Isnin, 10 Oktober 2016

Laluan julang Piala AFF kabur

SUFIAN HADI SOJAK  |  09 Oktober 2016 12:11 AM
Mohd. NAJIB TUN RAZAK dan Khairy Jamaluddin memulakan program
MOHD. NAJIB TUN RAZAK dan Khairy Jamaluddin memulakan program berbasikal ketika perasmian Hari Sukan Negara 2016 di Putrajaya semalam. MINGGUAN/RASHID MAHFOF
PUTRAJAYA 8 Okt. - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menganggap peluang Harimau Malaysia untuk menjuarai Piala AFF 2016 samar-samar selepas anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee sekadar bernasib baik apabila seri tanpa jaringan dengan Singapura.

Harimau Malaysia yang mengalami rombakan besar disebabkan persaraan empat pemain daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) lebih banyak diasak berbanding menyerang dalam perlawanan persahabatan di republik itu semalam tetapi bernasib baik apabila gawang mereka gagal ditembusi pasukan tuan rumah.

Perlawanan persahabatan itu adalah sebahagian program persiapan kedua-dua negara untuk menghadapi Piala AFF yang akan berlangsung pada November ini.

Khairy berpendapat, kemungkinan pertukaran yang dilakukan jurulatih Kim Swee dalam usaha memantapkan skuad kebangsaan telah menyebabkan permainan di Stadium Nasional, Singapura kurang menarik walaupun mereka tidak tewas.

“Pasukan kebangsaan saya lihat belum lagi bertemu rentak permainan yang dikehendaki untuk berjaya dalam saingan Piala AFF. Pengusaan bola dalam permainan semalam didominasi Singapura.


“Saya rasa kita bernasib baik sebab banyak bola terkena palang gol selain disekat penjaga gol (Khairul Azhan Khalid),” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat lawatan ke Program Kecergasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sempena sambutan Hari Sukan Negara 2016 di hadapan Istana Kehakiman, Presint 3 di sini hari ini.

Malaysia akan bertemu Afghanistan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa seterusnya di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober ini.

“Saya harap kita dapat taktikal yang lebih bagus daripada pasukan kita menjelang Piala AFF,” tambah Khairy.

Dalam perlawanan semalam, Kim Swee banyak mencuba muka baharu dan memanggil semula Norshahrul Idlan Talaha setelah kehilangan empat pemain yang sebelum ini menjadi tunjang pasukannya iaitu Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Amirulhadi Zainal dan S. Kunanlan yang kesemuanya daripada pasukan JDT dan masih belum berusia 30 tahun pada Julai lalu.

Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 9 Oktober 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan