ONG Kim Swee
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Seperti dijanjikan,
enam pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan Johor DT II hadir melaporkan diri
dan memulakan latihan skuad kebangsaan kendalian Datuk Ong Kim Swee semalam.
Kehadiran kapten Amri Yahyah,
Fadhli Shas dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dari Johor DT serta tiga pemain
Johor DT II Darren Lok, Zaquan Adha Radzak dan Irfan Fazail melengkapkan
senarai 30 pelatih Harimau Malaysia.
Kontroversi timbul sebelum ini
apabila tiga pemain Johor DT II hanya sempat berlatih sehari pada Selasa lalu
sebelum dipanggil pulang oleh pengurusan kelab atas alasan mereka hanya
dilepaskan empat hari sebelum perlawanan berdasarkan peraturan Persekutuan
Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Tiga pemain Johor DT yang
sepatutnya melaporkan diri kelmarin selepas selesai perlawanan separuh akhir
pertama Piala AFC Rabu lalu turut hanya diarahkan oleh majikannya untuk tiba
semalam.
Situasi itu melegakan Kim Swee
yang hanya mempunyai masa tiga hari untuk melakukan latihan penuh sebelum
menghadapi aksi persahabatan antarabangsa dengan Singapura di Stadium Nasional,
Singapura Jumaat ini.
“Bukan saja enam pemain Johor
DT tapi semua pemain yang dikehendaki melaporkan diri sudah melaporkan diri
jadi kita sudah mempunyai pasukan lengkap, saya harap bermula hari ini
(semalam) kita akan bertambah fokus sebelum bermain dengan Singapura nanti.
“Sudah tentu fokus saya dari
segi percaturan taktikal kerana hanya tiga hari saja kita dapat lakukan latihan
dan saya harap pemain ambil kesempatan ini sebaik mungkin kerana saya akan
memilih 11 pemain kesebelasan utama pada sesi latihan ini,” katanya kepada
pemberita pada sesi latihan semalam.
Kim Swee memanggil pemain bagi
sesi latihan pusat secara berperingkat bermula Selasa lalu berikutan ada pemain
terikat aksi Piala AFC dan Piala Malaysia.
Arena Metro sebelum ini
melaporkan dua pemain Johor DT Shahril Ishak dan Baihakki Khaizan sudah
berlatih dengan skuad kebangsaan Singapura Sabtu lalu manakala Hariss Harun
dari Johor DT kelihatan bersama pasukan jiran itu kelmarin.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 8:26 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan