FADHILUL IZMEL ISHAK | 05
Oktober 2016 12:12 AM
PEMAIN kebangsaan menjalani
latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam dalam persiapan menghadapi aksi
persahabatan menentang Singapura dan Afghanistan.
KUALA LUMPUR 4 Okt. – Matthew
Davies, Ronny Harun, Nasir Basharudin, Khairul Fahmi Che Mat dan Ahmad Khuzaimi
Piee terpaksa diketepikan dalam aksi persahabatan menentang Singapura, Jumaat
ini.
Ketua Jurulatih Harimau
Malaysia, Datuk Ong Kim Swee berkata, semua pemain tersebut akan ditinggalkan
di Wisma FAM bagi menjalani proses pemulihan akibat kecederaan.
Bagaimanapun katanya, mereka
masih berpeluang beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan menentang
Afghanistan di Shah Alam, Selasa depan sekiranya sempat pulih.
“Saya akan bawa 26 pemain (ke
Singapura). Lima pemain yang ditinggalkan ialah Matthew, Ronny, Nasir, Khairul
Fahmi dan Ahmad Khuzaimi.
“Ronny cedera belakang badan,
Nasir pula di pangkal paha dan Matthew mengalami masalah kesihatan.
“Mereka tidak digugurkan cuma
perlu menjalani program pemulihan di Kuala Lumpur dan akan bersama pasukan
selepas kami kembali dari Singapura,” katanya di Wisma FAM hari ini.
Menyentuh mengenai kesebelasan
utama yang bakal diturunkan Jumaat ini, Kim Swee memberitahu, beliau belum
mempunyai bayangan dan sedang mencari kombinasi terbaik.
“Terus-terang saya cakap, hanya
semalam saya baru melakukan latihan bersama semua pemain. Saya cuba beberapa
kombinasi dan hari ini saya akan cuba lagi begitu juga esok, kita berlatih di
Singapura,” katanya.
Mengenai pemain yang akan
mengisi posisi bek tengah, Kim Swee berkata dia mempunyai empat pilihan untuk
dipertaruhkan selepas pemain berpengalaman Ronny dan Shahrom Kalam tidak dapat
diturunkan.
“Saya ada Khairul Helmi
(Johari), Shahrul Saad, Abdul Latiff (Suhaimi) dan Fadhli Shas. Ini bermakna
saya ada empat pemain untuk posisi tersebut dan akan menilai mereka hari ini
serta esok.
“Saya tidak merancang untuk
membuat gandingan baharu kerana saya perlu lihat dari segi pengalaman juga,”
katanya lagi.
Sementara itu, dalam
perkembangan berasingan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta penjelasan
daripada Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Lim Teong Kim
yang tidak mahu meneruskan perlawanan persahabatan sewaktu pasukan bawah 14
tahun NFDP mengadakan jelajah di Korea Selatan.
Kejadian itu berlaku pada 29
September lalu apabila skuad NFDP B-14 bertemu Pohang FC Steelers.
Pasukan dari Korea Selatan itu
mendahului 4-0 pada babak pertama namun Teong Kim enggan membenarkan pemainnya
meneruskan aksi babak kedua selepas mendakwa lawan menurunkan pemain lebih
umur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan