DARREN
Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pemilik Johor
Darul Ta’zim, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu tindakan
memanggil pulang tiga pemain Johor DT II iaitu Zaquan Adha Radzak, Irfan Fazail
dan Darren Lok dari kem latihan skuad kebangsaan tidak disensasikan.
Malah Tunku Ismail juga
menyuarakan kekecewaan terhadap beberapa agensi media sukan di negara ini yang
sering memaparkan isu negatif mengenai JDT selama berminggu-minggu dan tidak
melaporkan perkara positif berhubung pembangunan bola sepak yang dilaksanakan oleh
kelab itu.
“Hanya media asing membuat
liputan cerita mengenai projek positif yang sedang dilaksanakan sedangkan
mereka yang tidak berpuas hati dengan kami tidak ambil peduli langsung untuk
menceritakan kebaikan. Kami di Johor sudah biasa dengan layanan seperti itu.
Tiada masalah.
“Mengenai pemain JDT II kami,
saya mengarahkan mereka untuk pulang kerana pemain muda ini adalah aset kelab
kami. Kami yang membayar gaji mereka dan kami akan melakukan apa saja untuk
mengawal keselamatan aset kami ini dan menjaga kepentingan kami dengan sepenuh
hati. Malah ketiga-tiga pemain itu akan melaporkan diri hari ini (semalam),”
kata Tunku Ismail menerusi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers.
Tunku Ismail juga menjelaskan
mengenai status dua pemain importnya, Baihakki Khaizan dan Shahril Ishak yang
menjalani latihan bersama skuad Singapura untuk persiapan menentang skuad
Harimau Malaysia pada 7 Oktober ini memandangkan kedua-dua pemain itu adalah
pemain senior JDT II.
Katanya, Baihakki dan Shahril
diberi pelepasan awal untuk menyertai latihan skuad Singapura di bawah
kendalian V Sundramoorthy kerana mereka tidak akan menjadi sebahagian daripada
projek JDT II untuk masa akan datang.
“Mengenai Hariss Harun, saya
berpeluang bercakap dengan Sundramoorthy dan memaklumkan kepadanya pemain
tengah JDT itu akan melaporkan diri pada hari ini (semalam) dan dia memberitahu
kepada saya tidak menjadi masalah.
“Amat menyedihkan untuk
mengatakan saya mempunyai hubungan lebih baik dengan badan induk bola sepak dan
kelab dari seluruh dunia berbanding negara saya sendiri. Saya tertanya-tanya
mengapa? Saya akan biarkan untuk anda renungkan. Jadi ini adalah kenyataan dari
saya,” tegas Tunku Ismail.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 8:34 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan