Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kelana Jaya: Pemenang Kasut
Emas Piala AFF 2010 Safee Sali bertekad untuk memastikan penampilan terakhirnya
di saingan berprestij Asia Tenggara itu berakhir dengan kenangan manis sebelum
bersara daripada arena antarabangsa.
Dia yang kini berusia 32 tahun,
mengakui faktor usia dan kecederaan sebelum ini banyak mengubah gaya
permainannya, berbeza apabila sering menjadi igauan penjaga gol lawan ketika
zaman kemuncaknya enam tahun lalu.
Namun, penyerang Johor Darul
Ta’zim (Johor DT) itu yang kembali ke pangkuan pasukan Harimau Malaysia mahu
dijadikan Piala AFF sebagai medan untuk menutup mulut pengkritik yang
mempertikaikan kehadirannya dalam skuad negara.
“Pertama sekali saya bangga
kerana tersenarai selepas hampir setahun tidak dipanggil. Sebagai pemain saya
perlu menjalankan tanggungjawab untuk naikkan nama negara walau apa cara
sekalipun.
“Memang ada yang mempertikaikan
kerana dalam skuad Johor DT saya sekadar pemain simpanan. Bagi saya, komen itu
ada yang baik dan buruk. Jadi saya hanya ambil yang positif dan tinggalkan
komen negatif.
“Mereka (pengkritik) tidak
peduli apa yang pemain tempatan rasakan dalam liga (Liga Super) kerana memang
peluang untuk bermain agak sukar akibat dimonopoli pemain import.
“Bagi saya, siapa yang
dipanggil (menyertai pasukan negara) tentu berdasarkan kriteria jurulatih. Jadi
saya yakin jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) memang percayakan keupayaan saya,”
katanya pada sesi latihan pasukan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
di sini, semalam.
Jelasnya, dia gembira dapat bergandingan
dengan Norshahrul Idlan Talaha kerana mereka pernah dilabel antara gandingan
penyerang terbaik rantau ini.
“Saya gembira dapat bekerjasama
dengan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) kerana selalunya apabila kami bermain
bersama, keputusan baik dicapai.
“Jadi, saya harap dengan
latihan di sini, kami akan cepat menemui semula keserasian yang hilang,”
katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 8:51 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan