MOHAMMAD
ROZAIDI ZULKIFLI | 12
Oktober 2016 11:58 PM
Pemain Malaysia, Baddrol
Bakhtiar (kiri) mengasak pemain Afghanistan,Kanischka Taher dalam perlawanan
persahabatan di Stadium Shah Alam semalam yang berkesudahan seri 1-1.
UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Ketua
pasukan Baddrol Bakhtiar berharap penyokong bersabar dengan prestasi Harimau
Malaysia ketika ini dan berkata dia dan rakan-rakannya masih dalam tempoh
mencari keserasian berikutan ramai muka baharu dibawa masuk oleh Datuk Ong Kim
Swee.
Katanya, pemain-pemain Harimau
Malaysia telah mula menunjukkan tanda-tanda memahami dan serasi dengan satu
sama lain ketika mereka seri 1-1 dengan Afghanistan di Stadium Shah Alam
semalam dan pemain Kedah itu agak berpuas hati dengan aksi dipamerkan mereka.
Pemain tonggak Lang Merah itu
berkata corak permainan yang dipamerkan barisan skuad negara semalam adalah
berbeza berbanding ketika menentang Singapura minggu lalu.
“Pertama sekali saya berpuas
hati dengan persembahan rakan sepasukan malam ini (semalam) sebab kami masih
lagi dalam proses mencari keserasian antara satu sama lain.
“Ini kerana kami hanya berlatih
bersama selama seminggu dan ada di antara kami baru bermain bersama jadi
keputusan ini baik untuk pasukan. Pemain menjalankan tugas dengan baik seperti
yang diarahkan oleh jurulatih.
“Dalam perlawanan dengan
Singapura sebelum ini kami banyak bertahan tetapi malam ini kami mengubah
sedikit corak permainan iaitu bertahan dan menyerang.
“Kami melakukannya dengan baik
dengan menjaringkan satu gol,” katanya kepada pemberita selepas tamat
perlawanan persahabatan ketiga skuad kebangsaan semalam.
Baddrol yang bakal membuat
persiapan mengharungi saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia Sabtu ini
bersama Kedah mengakui bahawa Afghanistan bermain pantas dan baik.
“Afghanistan sebuah pasukan
yang kuat dan bermain laju tetapi kami berjaya mengekang asakan mereka dengan
bertahan dengan baik dan mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Ini
satu peningkatan yang baik untuk pasukan,” ujarnya.
Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE
12 Oktober 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan