RABU, 5 OKTOBER 2016 @ 9:48 PM
BERNHARDT (kiri) memerhatikan
pemainnya berlatih di Padang MSN Bukit Jalil, semalam. - Foto Hasriyasyah
Sabudin
KUALA LUMPUR: Beberapa muka
baharu akan diberi peluang membuktikan kemampuan apabila skuad bawah 22 tahun
(B-22) negara berdepan Brunei dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi esok.
Ketua jurulatih negara, Frank Bernhardt,
berkata beliau memutuskan untuk menggandingkan muka baharu dan pemain
berpengalaman bagi perlawanan esok selepas beberapa tonggak pasukan mengalami
kecederaan. "Kami berdepan masalah kecederaan pemain dan saya memutuskan
untuk memberi peluang kepada muka baharu.
Saya harap mereka dapat belajar
sesuatu dalam perlawanan itu nanti," katanya dalam sidang media di sini
hari ini. Pengendali berusia 47 tahun dari Jerman itu berkata, beliau akan
membuat sedikit perubahan kepada barisan yang menentang skuad B-22 Bahrain yang
menyaksikan kedua-dua pasukan seri 0-0 dalam perlawanan pertama pada 30 Ogos
sebelum Bahrain menang 2-1 dalam pertemuan kedua, dua hari selepas itu.
Sementara itu, penolong kapten
skuad B-22 negara, Adib Zainuddin yang beraksi di posisi pertahanan, menegaskan
beliau bersedia digandingkan dengan mana-mana pemain bagi mengekang jentera
serangan pasukan kebangsaan Brunei pada perlawanan esok.
"Kemungkinan saya akan
digandingkan dengan pemain Johor Darul Ta'zim II, Dominic Tan kerana saya dan
dia sudah beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini. Namun
saya sedia digandingkan dengan mana-mana pemain di posisi pertahanan.
"Saya juga berharap rakan sepasukan dapat
mengurangkan kesilapan yang kami lakukan ketika berdepan Bahrain tempoh hari
dan cuba beri persembahan terbaik dalam perlawanan esok," kata Adib yang
merupakan pemain UiTM FC.
Penolong jurulatih Brunei, Ali
Mustafa pula menjelaskan perlawanan berkenaan adalah usaha serampang dua mata
pasukan tersebut yang membawa kombinasi pemain senior dan skuad B-22. Ia
sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan Piala AFF dari 15-21 Okt ini
di Kemboja dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
"Perlawanan ini adalah bagi menguji
mentaliti pemain dan juga pembinaan pasukan yang lebih kukuh ketika berada di
atas padang. "Saya rasa pemain B-22 Malaysia beraksi dengan baik menerusi
apa yang saya lihat dalam tayangan video, namun fokus saya adalah memperbaiki
keserasian antara pemain muda dan berpengalaman dalam pasukan kami,"
jelasnya. Skuad B-22 negara dijadual menentang pasukan kebangsaan Brunei dalam
dua aksi persahabatan iaitu pada esok dan Sabtu, yang dilangsungkan di
gelanggang yang sama. - BERNAMA
Sumber-Selanjutnya di :
http://www.bharian.com.my/node/199200
Tiada ulasan:
Catat Ulasan