Selasa, 11 Oktober 2016

Ikut taktikal 100%

 
PEMAIN Harimau Malaysia pada sesi latihan rasmi pasukan di Stadium Shah Alam menjelang aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam ini.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penolong ketua pasukan kebangsaan, Baddrol Bakhtiar mengakui Afghanistan yang akan ditentang di Stadium Shah Alam malam ini bukanlah calang-calang pasukan dengan dia mengingatkan rakan sepasukannya supaya beraksi mengikut taktikal ‘gubahan’ pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee.

Katanya, jika rakan sepasukan mampu beraksi mengikut ‘formula’ yang akan diterapkan Kim Swee nanti, dia percaya kemenangan pastinya menjadi milik negara dalam aksi persahabatan antarabangsa itu.


“Kita sedar mereka sebuah pasukan yang kuat dari segi fizikal dan kelajuan. Apa yang pemain kita boleh lakukan adalah mengikut arahan jurulatih ketika beraksi.

“Saya dan rakan tahu, taktikal jurulatih begitu mudah dan senang untuk kami ikut, jadi malam esok (malam ini) kita akan bermain mengikut panduan dan arahan yang disusun jurulatih.

“Kalau pasukan mengikut dengan baik, saya pasti kemenangan boleh diraih apatah lagi kita akan beraksi di depan penyokong sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Jelas Baddrol lagi, selain memahami taktikal Kim Swee, dia turut meluahkan kebimbangan di jentera tengah yang disifatkannya masih lagi tercari-cari rentak.

“Bagi saya sendiri, keserasian pasukan di bahagian tengah masih lagi tercari-cari. Kita baru main satu perlawanan (aksi persahabatan bertemu Singapura) dan kalau dapat main lagi satu atau dua perlawanan, mungkin keserasian itu lebih bagus,” katanya.

Ujarnya, walau siapapun pemain diturunkan nanti, dia mahu rakan sepasukan cuba meraih kemenangan sebagai motivasi tambahan sebelum bersaing pada Piala AFF bulan depan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2016 @ 9:24 AM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan