FADHILUL
IZMEL ISHAK | 08
Oktober 2016 12:12 AM
PEMAIN Malaysia, Safawi Rasid
dikasari oleh pemain Singapura, Faritz Hameed dalam perlawanan persahabatan di
Stadium Nasional, Singapura malam tadi yang berkesudahan seri 1-1. REUTERS
KUALA LUMPUR 7 Okt. - Hasrat
pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee untuk mencipta kemenangan
ketika menentang Singapura tidak kesampaian selepas kedua-dua pasukan terikat
tanpa jaringan dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Singapura malam
ini.
Berdasarkan corak permainan
yang dipamerkan oleh pemain skuad kebangsaan, nampaknya Kim Swee perlu
melakukan banyak kerja rumah untuk memperbaiki kelemahan terutamanya di
bahagian tengah dan benteng pertahanan selain mempertajamkan jentera serangan
pasukan.
Benteng pertahanan kiri Harimau
Malaysia, yang dibarisi oleh ramai muka baharu dan muda, kerap dibolosi lawan
sehingga membolehkan skuad bimbingan V. Sundram Moorthy melakukan percubaan
merbahaya namun palang gol menjadi pemisah selain rembatan yang dilakukan oleh
pemain Singapura gagal menemui sasaran.
Di bahagian tengah pula
memperlihatkan pemain negara seperti hilang arah dan tidak banyak melakukan
lorongan cantik ke bahagian serangan sekali gus tidak banyak percubaan
merbahaya yang dapat dilakukan oleh mereka.
Bagaimanapun, selepas
perlawanan memasuki babak kedua, di bahagian tengah dan benteng pertahanan
Harimau Malaysia memperlihatkan sedikit kemajuan berbanding pada separuh masa pertama.
Apa yang pasti kemenangan
sesuatu yang amat ditagih oleh penyokong setia skuad kebangsaan berikutan
Harimau Malaysia baharu sahaja tewas 3-0 kepada Indonesia dalam aksi
persahabatan pada 6 September lalu.
Dalam perlawanan tersebut,
Singapura hampir menjaringkan gol menerusi percubaan merbahaya Faritz Hameed
pada minit ke-14 namun penjaga gol Harimau Malaysia, Khairul Azhan Khalid
berjaya menafikannya.
Singapura memiliki peluang
terbaik untuk membolosi gawang Harimau Malaysia bagaimanapun percubaan Khairul
Amri dan Hariss Harun dinafikan oleh palang gol.
Harimau Malaysia turut
melakukan serangan terhadap kubu lawan dan mereka mempunyai peluang terbaik
untuk membolosi gawang Singapura pada minit ke-76 menerusi rembatan Zaquan Adha
Abdul Radzak namun berjaya ditepis oleh penjaga gol Hassan Sunny.
Biarpun gagal menembusi gawang
lawan namun Kim Swee tetap memuji persembahan yang dipamerkan oleh anak-anak
buahnya selepas berjaya mengekalkan gawang pasukan daripada dibolosi oleh lawan
selepas mempertaruhkan pemain baharu di bahagian pertahanan.
“Saya lihat pemain usaha
bersungguh-sungguh walaupun corak perlawanan tidak begitu menjadi. Namun,
pemain saya mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk mempertahankan gawang
gol.
“Barisan pertahanan saya adalah
pemain baharu. Jadi, untuk mereka tidak membolosi sebarang gol saya fikir satu
keputusan yang bagus untuk kami. Saya tidak tahu selepas ini saya perlu
melakukan sesuatu untuk mengasah pemain dan harap dapat kekalkan mereka sehingga
Piala AFF
“Jika anda tanya saya sama ada
saya gembira atau tidak...apa yang penting adalah mendapatkan keputusan. Saya
lebih suka mendapatkan permainan cantik tapi jika tidak menang akan memberi
malapetaka. Anda tidak main bagus tapi lakukan apa yang patut dan dapatkan
keputusan positif itu sudah bagus,” kata Kim Swee selepas perlawanan.
Malaysia akan beraksi dalam
satu lagi perlawanan persahabatan iaitu menentang Afghanistan
di Shah Alam pada
11 Oktober ini.
Sumber-UTUSAN MALAYSIA online 8.10.2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan