Sabtu, 8 Oktober 2016

Kim Swee: Masih banyak kelemahan perlu diperbaiki

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI

KIM SWEE (tengah) akan terus bekerja keras untuk membentuk skuad Harimau Malaysia yang mantap.

JURULATIH Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengakui kurang berpuas hati dengan persembahan skuad negara ketika seri tanpa jaringan menentang Singapura di Stadium Nasional Singapura, kelmarin.

Menurutnya, para pemain perlu bekerja lebih keras lagi untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada, selain mempertingkatkan kekuatan mental menjelang aksi persahabatan kedua menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

“Saya perlu membina semula pasukan selepas berdepan dengan pelbagai masalah sebelum ini. Saya kehilangan beberapa pemain berkualiti yang telah mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa. Saya perlu meneruskan usaha untuk membentuk semula skuad Harimau Malaysia dan berharap barisan pemain yang ada ketika ini terus komited sehingga kempen Piala AFF Suzuki pada November nanti.

“Sama ada orang di luar sana suka atau tidak dengan corak permainan kami, itu perkara kedua. Apa yang penting buat saya adalah keputusan. Kalau kita bermain dengan cantik sekali pun tetapi tetap tewas, tiada guna juga.

“Saya hanya mahukan kemenangan dan kalau boleh biarlah kemenangan itu dijelmakan dengan rentak permainan yang bagus,” jelas Kim Swee semalam.

Tambah Kim Swee, beliau memuji gandingan Khairul Helmi dan Shahrul Saad di benteng pertahanan, malah mula dilihat memberikan impak, selain peranan positif Rizal Ghazali ketika perlawanan menentang Singapura.

“Ia satu perlawanan yang cukup sukar dan saya percaya anak-anak buah saya bertahan dengan baik, bermain sebagai satu pasukan. Jadi, kami perlu lakukan apa yang perlu dilakukan. Ia bukan mudah apabila Singapura bermain dengan begitu baik.

“Namun, ia agak bagus buat pemain-pemain saya kerana kami tidak bolos pada kali ini.

“Empat pemain pertahanan yang diturunkan pada aksi menentang Singapura tidak pernah bermain sebagai satu pasukan sebelum ini dan mereka merupakan gandingan baharu dalam pasukan,” ujar Kim Swee.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1009&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4MXVPoV17

Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan