ARKIB : 15/08/2009
Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my
PETALING JAYA - Dua tahun lalu,
skuad kebangsaan dimalukan oleh China 1-5 pada perlawanan Piala Asia di Stadium
Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Mungkinkah memori hitam diaibkan
China pada 2007 mampu ditebus oleh skuad bawah 23 kebangsaan bimbingan K.
Rajagobal apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi persahabatan di
Stadium Shah Alam hari ini?
Berdasarkan prestasi semasa yang
memberangsangkan, misi menebus aib kepada China bukan mustahil walaupun ranking
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), memihak kepada negara Tembok Besar
itu.
China di ranking 108 manakala
Malaysia pada kedudukan 152 ranking FIFA.
Apa yang pasti, keputusan
dimalukan 5-1 dua tahun lalu tidak seharusnya berulang ketika China
menghamburkan pujian terhadap kemampuan skuad muda negara.
Pengurus pasukan China, Wei Shao
Hui berkata, Malaysia mencatat peningkatan ketara sejak kebelakangan ini
khususnya dari segi taktikal dan teknikal permainan.
''Kami menghormati skuad
Malaysia. Skuad Malaysia mencatat peningkatan ketara sejak kebelakangan ini,
peningkatan yang seiring dengan trend bola sepak dunia, sama seperti pasukan
China.
''Pertembungan terakhir dengan
Malaysia (Piala Asia 2007), tuah menyebelahi kami.
''Dalam acara sukan, Malaysia
mampu menyaingi China hanya dalam dua acara iaitu bola sepak dan badminton,''
katanya.
China mengekalkan tiga pemain
dari skuad Piala Asia 2007 yang akan beraksi hari ini iaitu pemain pertahanan,
Du Wei, pemain tengah, Qu Bo dan penyerang yang menjaringkan dua gol ketika
menundukkan Malaysia 5-1 pada pusingan akhir Piala Asia pada 2007, Han Peng.
''Kami tidak menyenaraikan pemain
yang beraksi di liga Eropah. Namun, inilah skuad terbaik kerana kami sedang
dalam persediaan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2011,'' katanya.
Kelmarin, skuad Malaysia mengikat
pasukan kebangsaan Kenya tanpa jaringan dalam aksi persahabatan di Stadium Shah
Alam.
Sementara itu, Rajagobal berkata,
dia kehilangan tiga pemain, Khyril Muhymeen Abd. Zambri, Norshahrul Idlan
Talaha dan Ahmad Shakir Mohd. Ali untuk perlawanan hari ini.
Menurutnya, mereka terpaksa
direhatkan selepas mengalami kecederaan ketika menentang Kenya tempoh hari.
Namun, katanya, dia tidak
bercadang untuk membuat rombakan drastik untuk aksi persahabatan hari ini.
''Kesebelasan utama akan saya
tentukan selepas latihan hari ini namun saya mungkin akan menurunkan skuad yang
hampir sama ketika menentang Kenya.
''Mengenai China, kita terpaksa
akui mereka satu pasukan yang sangat baik.
''Berdasarkan pengalaman ketika
melihat aksi mereka di luar negara baru-baru ini, China satu pasukan yang
hebat, permainan mereka laju.
''Namun, saya harap peminat
memberikan sokongan kepada pasukan muda negara yang telah mempamer
peningkatan,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5YKbaCWFN
© Utusan Melayu (M) Bhd