Jumaat, 23 Mac 2018

Tiada lagi pemain JDT


 PEMAIN skuad kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri (kiri) diasak pemain Mongolia, Narmandakh Artag dalam ak
PEMAIN skuad kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri (kiri) diasak pemain Mongolia, Narmandakh Artag dalam aksi bola sepak persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin. – BERNAMA
Zazali Jamian

24 Mac 2018 3:00 AM

KUALA LUMPUR 23 Mac - GARA-GARA dituduh pilih kasih, 14 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) diberi pelepasan untuk tidak menyertai skuad Harimau Malaya bagi persediaan menghadapi aksi terakhir Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 pada Selasa ini.

Itu punca sebenar 14 pemain JDT yang berada dalam skuad negara secara tiba-tiba pulang ke pasukan asal mereka pada hari ini, sehari selepas Harimau Malaya seri 2-2 menentang Mongolia di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.


Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe selepas dia dan barisan kakitangan kejurulatihan dalam pasukan akur dengan desakan peminat yang menuduhnya pilih kasih berikutan menurunkan hampir 90 peratus pemain JDT ketika perlawanan menentang Mongolia.

“Sebelum perlawanan menentang Mongolia semalam (kelmarin), saya (bersama) barisan jurulatih telah memilih pemain-pemain yang kami rasa yang terbaik dalam Malaysia.

“Saya berpendapat semua sedar bahawa pemain-pemain tersebut yang terbaik di Malaysia dan selepas perlawanan menentang Mongolia, kerana keputusan seri, saya rasa banyak orang menuduh kami barisan jurulatih pilih kasih menurunkan 90 peratus daripada (pasukan) JDT.

“Mungkin itu kehendak peminat dan kami sebagai jurulatih mengambil tanggungjawab tersebut kerana kita tahu perlawanan menentang Lebanon, kita tiada peluang dalam Piala Asia 2019,

“Saya berpendapat pemain-pemain sudah memberikan yang terbaik dan kita mahu memberikan peluang kepada pemain-pemain lain ketika bertemu Lebanon dan kami lepaskan pemain-pemain JDT ini,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Sejumlah 14 pemain JDT yang diberikan pelepasan pulang itu ialah Safiq Rahim, Ahmad Haz­wan Bakri, Darren Lok, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rasid, Fadhli Shas, Fazly Mazlan, Afiq Fazail, Syafiq Ahmad, Adam Nor Azlin, Haziq Nadzli, Natxo Insa, La’Vere Corbin-Ong dan Adib Zainuddin.

Sementara itu, Cheng Hoe turut mengesahkan pelepasan 14 pemain JDT itu telah dimaklumkan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Kata Cheng Hoe dia bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang berlaku dan telah memang­gil sembilan muka baharu bagi menggantikan ketiadaan 14 JDT.

“Saya bertanggungjawab de­ngan apa yang katakan dan fokus saya kini adalah perlawanan menentang Lebanon.

“Peminat-peminat boleh berikan komen dan kita ikut sahaja komen mereka. Itu sahaja, saya tidak mahu komen le­bih (lanjut).

“Tumpuan saya kepada perlawanan Lebanon sahaja, saya fokus perlawanan itu walaupun kita terkeluar daripada saingan tetapi saya mahu pastikan kita akan dapat keputusan terbaik.

Sembilan pemain yang dipanggil adalah penyerang Kuala Lumpur, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak, Shahrel Fikri (PKNP), Jafri Firdaus Chew (Selangor PKNS), R. Kogileswaran (Pahang), Mohamad Syawal Nordin (Kedah), Shahril Saari (Sela­ngor PKNS) dan tiga lagi pemain Perak, Nor Hakim Hassan, Nazi­rul Naim Che Hashim dan Syaz­wan Zaipol.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tiada-lagi-pemain-jdt-1.633882#ixzz5AcUZU1Cu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan