Jumaat, 23 March 2018 | 7:58pm
NAZIRUL Naim (kanan) terkejut
menerima panggilan sertai skuad kebangsaan dan sedia beri komitmen. - FOTO GOH
THEAN HOWE
Nazirul Naim intai peluang
Oleh Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Ketiadaan dua pemain
pertahanan kiri Johor Darul Ta'zim (JDT), La' Vere Corbin-Ong dan Fazly Mazlan
yang dilepaskan oleh jurulatih Tan Cheng Hoe membuka peluang buat Nazirul Naim
Che Hashim kembali bersama skuad Harimau Malaya.
Biarpun dia mendapat pengesahan
panggilan itu pada pagi tadi, ia tidak memberi sebarang masalah buat Nazirul
Naim memberikan komitmen untuk hadir melaporkan diri ke kem latihan pusat pada
sebelah tengahari.
"Saya dapat panggilan
(panggilan skuad kebangsaan) subuh (pagi) tadi, saya diminta untuk sertai
pasukan kebangsaan pada tengahari.
"Agak mengejutkan juga,
mungkin ini rezeki saya. Saya baru balik bercuti, mula berlatih sehari dengan
Perak.
Bagi saya tak ada masalah, siapa
yang diberi peluang, dipanggil akan bersedia pada bila-bila masa," katanya
yang kini beraksi dengan Perak.
Nazirul Naim, 24, antara sembilan
pemain baharu yang dipanggil oleh Cheng Hoe hari ini bagi menggantikan 14
pemain JDT yang dilepaskan selepas aksi persahabatan antarabangsa menentang
Mongolia semalam.
Dalam perlawanan yang berlangsung
di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Malaysia sekadar seri 2-2 sekali gus
mengundang kritikan kepada Cheng Hoe kerana menggunakan ramai pemain JDT dalam
skuad utama.
Nazirul Naim yang kali terakhir
beraksi bersama Harimau Malaya ketika tewas 1-4 di tangan Korea Utara dalam
aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram tahun lalu akan bersaing merebut
tempat dengan seorang lagi pertahanan kiri, Syazwan Andik.
"Saya perlu mendapatkan
semula stamina kerana saya baru balik bercuti dan perlawanan dengan Lubnan pula
hari Selasa ini. Untuk kesebelasan utama, saya serahkan kepada jurulatih untuk
memilih, jika diberi peluang sudah tentu saya akan lakukan bersungguh-sungguh,"
katanya.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe
akan berlepas ke Beirut malam esok untuk aksi terakhir kelayakan Piala Asia
2019 menentang Lubnan sebelum berdepan Nepal pada perlawanan persahabatan di
Bukit Jalil pada 1 April.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat,
23 March 2018 | 7:58pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan