ARKIB : 30/04/2009
Penjaga gol Arab Saudi, Raed
Alchmari (dua dari kanan) berjaya menampan keluar percubaan pemain Malaysia
pada perlawanan persahabatan di MBPJ, semalam. - UTUSAN/Mohd. Nazudeen Mahmud
PETALING JAYA - Penguasaan di
babak pertama belum cukup memadai dan alpa di babak kedua menyebabkan skuad
bola sepak Bawah 16 kebangsaan tunduk 1-2 kepada lawan sebaya dari Arab Saudi
dalam perlawanan persahabatan di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)
semalam.
Kekalahan itu menyerlahkan
beberapa kelemahan ketara terutama untuk mengekalkan rentak penguasaan pada
pertandingan peringkat antarabangsa.
Mengulas keputusan tersebut
jurulatih kebangsaan, Aminuddin Hussin berkata remaja Harimau Malaya itu kalah
kepada pasukan yang beraksi di peringkat kelab berbanding para pemainnya yang
hanya beraksi di peringkat sekolah.
Menurutnya, namun para pemainnya
menimba pengalaman berguna dari perlawanan tersebut.
''Kita memang perlukan pendedahan
seperti ini dengan menentang pasukan bertaraf antarabangsa.
''Perlawanan ini mendedahkan
beberapa kelemahan yang perlu kita segera perbaiki.
''Begitupun saya bangga dengan
semangat para pemain tidak berputus asa walaupun ketinggalan sehingga akhirnya
berjaya menjaringkan satu gol.
''Ini menunjukkan para pemain
tetap berusaha sehingga ke akhir perlawanan," katanya semalam.
Malaysia beraksi kemas di babak
pertama apabila menguasai permainan dan melakukan beberapa percubaan namun
gagal menemui penyudah.
Para pemain mempamer aksi berbeza
selepas permainan bersambung apabila gagal mengekalkan rentak seperti mana
babak pertama.
Akibatnya pasukan lawan mengambil
peluang menerusi Fahad Al Moualed disusuli gol kedua oleh Ahmad Hakimi.
Menyedari ketinggalan, skuad
negara terdesak memburu gol dan akhirnya Mohd. Fareez Fitri Mohd. Iskandar
menggegar jaringan di minit akhir perlawanan.
Skuad Bawah 16 sedang dalam
persediaan untuk menghadapi pusingan kelayakan Piala Belia AFC Oktober depan.
Malaysia diundi dalam Kumpulan H
bersama Laos dan Australia bagi zon kelayakan Asia Tenggara.
Sementara itu, jurulatih Arab
Saudi kelahiran Brazil, Kika berkata, dia berpuas hati dengan kejayaan anak
buahnya membenam skuad Malaysia.
''Para pemain Malaysia mempunyai
kekuatan fizikal yang baik namun kami beraksi lebih baik dari segi taktikal dan
itulah yang membawa kami menang perlawanan ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5AICTHUaA
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan