ARKIB : 24/03/2009
Perancangan FAM mula buah hasil
KUALA LUMPUR - Tindakan Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) melarang pasukan negeri menggunakan khidmat pemain
import mulai tahun ini bagi membolehkan lebih ramai pemain penyerang dapat
dilahirkan telah menunjukkan kesan positif.
Ini menyebabkan pemain seperti
Mohd. Safee Sali dan Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak yang selalu menjadi pilihan
untuk mengetuai jentera serangan skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa
tidak lagi boleh merasa "selamat" kerana ramai lagi penyerang
tempatan mula menunjukkan kemampuan mereka.
Hakikat itu diakui oleh Pengerusi
Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh yang nyata gembira
dengan perkembangan ini.
"Namun, kita harus sedar
perkara ini masih awal kerana untuk melahirkan penyerang yang berkualiti, masa
yang agak panjang diperlukan," katanya di sini, semalam.
Che Mat, yang juga Naib Presiden
FAM berkata, penyerang tempatan kini mempunyai lebih banyak ruang untuk
mempamerkan kebolehan dan bakat mereka, sekali gus menarik minat penyokong.
"Jika pasukan beraksi baik,
seperti Kelantan pada masa kini, penonton akan memenuhi stadium walaupun tanpa
pemain import," ujarnya.
Selepas sembilan perlawanan Liga
Super setakat ini, beberapa nama baru telah muncul sebagai penjaring seperti
Norshahrul Idlan Talaha (UPB-MyTeam dengan enam gol) dan Azlan Ismail
(Terengganu) juga enam gol.
Malah, beberapa pemain muka lama
turut mempamerkan taring mereka seperti Mohd Nizaruddin Yusof dari Perlis
dengan enam gol, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd. Khalid Jamlus, kedua-dua
mewakili Kelantan, masing-masing dengan lima gol dan empat gol.
Dalam Liga Perdana, selepas enam
perlawanan, pemain Harimau Muda (pasukan bawah 19 tahun kebangsaan), Ahmad
Aminuddin pula mendahului dengan enam gol diikuti pemain T-Team, Mohd. Harris
Safwan dengan lima gol. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0324&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5A6UrFAxi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan