PENYERANG Muda Harimau Malaya,
Safawi Rasid (Dua dari kiri) bakal menjadi sandaran untuk merobek gawang
pasukan Mongolia dalam aksi persahabatan kategori 'A', Khamis ini di Stadium
Nasional Bukit Jalil. - UTUSAN ONLINE/SURIYA BONMA
20 Mac 2018 10:27 PM
KUALA LUMPUR 20 Mac – Walaupun
skuad Harimau Malaya sudah pun tersingkir awal daripada melayakkan diri ke
Piala Asia 2019 namun Tan Cheng Hoe tetap menegaskan dia mahu pemainnya
memberikan komitmen sepenuhnya bagi menghadapi Lebanon di Beirut dalam aksi terakhir
kelayakan Piala Asia 2019 pada 25 Mac ini.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan
itu berkata, setiap perlawanan perlu dianggap penting dan walaupun sudah
tersingkir namun itu bukan bermakna Malaysia boleh mengambil mudah untuk
menghadapi Lebanon.
“Setiap perlawanan sama ada aksi
persahabatan atau kejohanan adalah penting dan walaupun sudah tersingkir
daripada Piala Asia 2019 namun itu bukan alasan untuk saya mengambil ringan
dalam pertemuan menentang Lebanon.
“Penting untuk skuad kebangsaan
memperoleh keputusan positif daripada perlawanan tersebut dan saya perlu
memastikan pemain dapat memberikan aksi terbaik menentang Lebanon,” katanya
kepada Utusan Malaysia di Wisma FAM hari ini.
Malaysia berada di tangga
tercorot dalam Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 selepas mengutip satu mata
manakala Hong Kong di tangga ketiga dengan lima mata. Lebanon di tangga teratas
kumpulan selepas mengumpul 13 mata manakala Korea Utara ditempat kedua, lapan
mata.
Sebagai persiapan menghadapi
Lebanon, Malaysia bakal menentang Mongolia dalam aksi persahabatan kelas A di
Stadium Bukit Jalil, Khamis ini dan perlawanan tersebut merupakan platform
terbaik untuk Cheng Hoe mencari kesebelasan terbaik.
“Saya berharap pemain muda
khususnya dapat membiasakan diri dengan segera bersama pasukan dan mereka perlu
mempelajari daripada senior. Saya berharap pemain muda tidak berasa tertekan
dengan tanggungjawab untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Mereka yang dipanggil
majoritinya berada dalam lingkungan umur 20 hingga 23 tahun dan saya fikir ini
adalah kelompok umur yang terbaik untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan,”
katanya lagi.
Bekas pengendali Kedah itu
menyenaraikan sembilan pemain skuad bawah 23 (B-23) negara yang sebelum ini
pernah membantu Malaysia mara ke suku akhir dalam Piala AFC B-23 2018 pada
Januari lalu namun Cheng Hoe terpaksa mengetepikan Nor Azam Abdul Azih yang
mengalami kecederaan.
Habis
sumberArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/cheng-hoe-tidak-ambil-mudah-1.631510#ixzz5ALFPzlKH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan