Isnin, 19 Mac 2018

Hanya kemenangan mampu pujuk TMJ


CHENG HOE menyifatkan Tunku Ismail sebagai tokoh paling tepat
Cheng Hoe harap Tunku Ismail kekal terajui FAM
Ahmad Fazli Mohd. Yadi
20 Mac 2018 3:00 AM
CHENG HOE menyifatkan Tunku Ismail sebagai tokoh paling tepat mengetuai kepimpinan bola sepak Malaysia.

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyifatkan kemenangan ke atas Mongolia dalam aksi pemanas badan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Khamis ini mampu memujuk Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk terus kekal sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Tunku Ismail membuat kejutan apabila baginda memberikan bayangan untuk melepaskan jawatan selaku Presiden FAM dan bersedia untuk kembali pulang ke Johor Darul Ta’zim (JDT) de­ngan sepenuh masa.


Cheng Hoe memberitahu, bola sepak negara masih memerlukan Tunku Ismail yang dianggap tokoh paling tepat bagi mengetuai kepimpinan bola sepak Malaysia.

Justeru, bekas jurulatih Kedah itu berharap baginda menarik balik hasrat untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden FAM jika Harimau Malaya dapat menewaskan Mongolia yang menduduki ranking ke-189 dan menamatkan badi kekalahan pasukan kebangsaan.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad Harimau Malaya menang perlawanan antarabangsa ketika menewaskan Kemboja 3-2 dalam aksi Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2016 di Yangon dua tahun lalu.

“Saya fikir Tunku Presiden (Tunku Ismail) kekal. Baginda telah buat yang terbaik untuk pasukan kebangsaan dan FAM.

“Memang jangka masa terdekat kita tidak nampak hasil itu tetapi kalau tengok jangka masa yang panjang, memang terbukti (selepas kejayaan) JDT adalah sebuah kelab yang berjaya dalam Malaysia.

“Memang kita mengharapkan Tunku Pre­siden kekal bersama FAM. Kita mengharapkan ke­menang­an tersebut se­perti diidamkan oleh peminat bola sepak Malaysia dan saya sebagai jurulatih bersama pasukan, akan beri yang terbaik. Kami ingin kejayaan dan dapatkan keputusan positif,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Tindakan Tunku Ismail itu dipercayai berlaku selepas menyaksikan skuad Harimau Malaya berada di tangga ke-178 dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), jatuh tiga anak tangga sejak Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, Cheng Hoe mengesahkan beliau tidak akan memanggil mana-mana pemain biarpun ketiadaan Kiko Insa, S. Kunanlan dan Nor Azam Azih yang masing-ma­sing ditimpa masalah kecederaan.

“Kiko terkena jangkitan kuman di bahagian mata sebelah kanan dan dia tidak menjalani sesi latihan hari ini (semalam). Kita tidak membenarkan Kiko menjalani sesi latihan, bimbang ia berjangkit.

“Nor Azam pun kita lepaskan dia selepas dia mendapat kecederaan serius dan dia memerlukan tiga minggu untuk pulih. Kunanlan tiada pengganti sebab Arif Farhan dan Mahalli Jasuli boleh bermain di posisi itu,” katanya.
KOSMO ONLINE      20 Mac 2018 3:00 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan