Ahad, 18 Mac 2018

Skuad muda negara tewaskan Maebashi Ikuei 2-1

MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
15 Mac 2018 11:18 AM
Skuad muda negara cipta kebangkitan tewaskan Maebashi Ikuei 2-1.
Skuad muda negara cipta kebangkitan tewaskan Maebashi Ikuei 2-1.

FUKUOKA, Jepun - Pasukan Bawah 18 tahun negara (B-18) mencatat kemenangan pertama pada Kejohanan Remaja Piala Sanix selepas menewaskan pasukan kelab Jepun, Maebashi Ikuei dengan keputusan 2-1 di Global Arena di sini sebentar tadi.

Pada saingan tersebut, skuad kendalian Bojan Hodak sedikit tertekan apabila ketinggalan 0-1 selepas Itsuki Enomoto meledakan gol pembukaan buat pasukannya pada minit ke-29.


Tersentak dengan keadaan tersebut, jurulatih kelahiran Croatia itu melakukan lima pertukaran pada babak kedua dan berjaya meraih gol menerusi pemain gantian Arham Khussyairi Abd Wahab pada minit ke-54.

Pasukan negara terus mempamerkan aksi bertenaga apabila kapten pasukan, Hadi Fayyadh Abdul Razak menjaringkan gol kemenangan pada minit terakhir buat skuad negara.

“Awal perlawanan rentak perlawanan kami sedikit perlahan terutama keadaan cuaca yang sejuk sedikit menyukarkan kami di sini.

“Saya akui pemain Jepun mempamerkan aksi perlawanan yang laju tetapi kami berjaya menyekat beberapa percubaan mereka.

“Kami terdiri daripada pemain yang berkualiti dan saya yakin mereka semua mampu melakukannya dengan lebih baik pada aksi kedua nanti menentang Tokyo FC pada petang nanti,” katanya Bojan kepada Kosmo! selepas tamat perlawanan sebentar tadi.

Kejohanan tersebut yang berlangsung selama empat hari bermula 13 hingga 18 Mac itu melibatkan penyertaan 16 pasukan termasuk dari Korea Selatan, Taiwan dan Rusia. - K! ONLINE 15 Mac 2018 11:18 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan