SAFIQ RAHIM (dua dari kanan)
bersalaman dengan kapten Mongolia, Turbat Daginaa sambil diperhatikan Tan Cheng
Hoe (kanan) dan jurulatih Mongolia, Michael Weiss dalam sidang akhbar mengenai
perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Mongolia di Wisma FAM, Kelana
Jaya, semalam.
22 Mac 2018 3:00 AM
KUALA LUMPUR 21 Mac – Kehebatan
pahlawan legenda, Genghis Khan bakal menjadi pendorong kepada pasukan bola
sepak Mongolia untuk menentang Malaysia dalam aksi persahabatan kelas A di di
Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Ketua jurulatih Harimau Malaya,
Tan Cheng Hoe berkata, walaupun Mongolia merupakan pasukan ranking lebih
rendah iaitu 189 berbanding Malaysia 178, namun untuk menewaskan pasukan
berkenaan bukan perkara mudah.
Menurut bekas pengendali Kedah
itu, pertemuan tersebut merupakan aksi pertama Malaysia di pentas antarabangsa
pada tahun ini.
“Ini kali pertama Malaysia
menentang Mongolia (skuad senior) dan saya tidak dapat banyak maklumat mengenai
mereka. Mongolia sudah mula melakukan jelajah untuk mengadakan aksi
persahabatan dan mereka melakukan persiapan selama dua minggu di China.
“Mungkin dari segi teknikal,
Mongolia tidak begitu baik namun semangat juang mereka tinggi dan saya percaya
mereka mempunyai semangat juang sama macam Genghis Khan yang pernah menawan
China satu masa dahulu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media rasmi
perlawanan di Wisma FAM hari ini.
Dalam pada itu, Cheng Hoe enggan
memberi tekanan kepada pemainnya walaupun ketika ini peminat Harimau Malaya
begitu mendambakan kejayaan selepas Malaysia gagal melakar sebarang kemenangan
daripada 10 perlawanan sepanjang 2017.
“Ini adalah perlawanan pertama
Malaysia untuk 2018 dan merupakan permulaan yang terbaik untuk pemain beraksi
di pentas antarabangsa. Saya tidak memberi tekanan kepada pemain kerana mereka
sudah lama tidak dikumpulkan bersama.
“Saya berharap pemain bersemangat
untuk bermain dalam satu pasukan. Saya mahu pemain menikmati perlawanan ini dan
bermain untuk maruah negara dan bukannya kerana terpaksa,” katanya.
Dalam pada itu, kapten Malaysia,
Safiq Rahim berkata, walaupun pemain Mongolia majoritinya berasal daripada semi
profesional yang terdiri daripada pelajar dan bermain bola sepak separuh masa,
itu bukan bermakna Harimau Malaya boleh memandang rendah terhadap lawan mereka
itu.
“Kita perlu bermain seperti satu
keluarga. Kami perlukan nafas baharu dan kami tidak boleh memandang rendah
terhadap keupayaan Mongolia. Kami perlu dahulukan pasukan sendiri sebelum
memikirkan pasukan lain.
“Sebagai pemain, kami sememangnya
menitik beratkan ranking negara dan sebab itu kami perlu mendapatkan keputusan
terbaik untuk pasukan. Diharapkan pemain negara lebih bersedia untuk
memperbaiki kedudukan ranking,” katanya.
Kali terakhir Malaysia beraksi di
Stadium Bukit Jalil ialah pada 16 Jun 2015 selepas dibelasah 0-6 oleh Palestin
dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di bawah kendalian Dollah
Salleh.
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-malaya-tidak-mahu-anggap-mudah-hadapi-mongolia-1.632486#ixzz5ARZIa2N6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan