Jumaat, 30 Mac 2018

Gilir pemain sedia ada


Syafiq Aznan
syafiq.aznan@nstp.com.my
 
SKUAD kebangsaan yang memperaga aksi lebih kemas ketika bertemu Lubnan mendapat ‘ganjaran’ apabila semua 23 pemain yang dipanggil akan terus kekal untuk mengharungi persiapan bertemu Bhutan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

Perkembangan itu dimaklumkan pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe yang mengakui dia tidak merancang untuk memanggil mana-mana pemain baharu bagi aksi persahabatan bertemu pasukan ke-188 dunia dengan dia hanya akan menggunakan pemain yang sedia ada ketika ini.

“Setakat ini, kita berdepan kekangan masa yang singkat untuk aksi bertemu Bhutan jadi saya tidak akan memanggil mana-mana pemain memandangkan barisan kejurulatihan berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan oleh barisan pemain.

“Kita juga perlu memberi peluang kepada pemain yang tidak beraksi menentang Lubnan dan berkemungkinan mereka akan diturunkan untuk perlawanan bertemu Bhutan. Tetapi kita perlu mendapatkan nasihat doktor mengenai tahap kecergasan dan kecederaan setiap pemain terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

“Walaupun baru pulang dari Lubnan, tetapi kita tidak akan berehat kerana esok (hari ini) kita akan kembali menjalani latihan ringan memandangkan aksi persahabatan ini adalah begitu penting,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Pada aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2019 yang berlangsung di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut, kelmarin, ‘barisan kedua’ Malaysia nyaris merentap ego Lubnan sebelum tewas 2-1 menerusi jaringan minit akhir perlawanan.

Meskipun tewas, skuad kebangsaan yang dibarisi ‘generasi baharu’ itu mempamerkan aksi yang jauh lebih baik dan memberangsangkan berbanding ketika seri 2-2 bertemu Mongolia di laman sendiri, minggu lalu.

Mengulas lanjut persiapan pasukan kebangsaan, bekas jurulatih Kedah ini mahukan anak buahnya supaya meneruskan momentum yang dilakar ketika menentang Lubnan dalam usaha menuai kemenangan pertama ke atas Bhutan, Ahad ini.

“Corak permainan menunjukkan perkembangan yang positif dan saya melihat keyakinan pemain juga kian meningkat. Jadi saya mengharapkan mereka dapat terus memberikan persembahan yang konsisten bukan sahaja untuk aksi menentang Bhutan tetapi untuk aksi antarabangsa yang seterusnya.

“Bagaimanapun, harus diingat bahawa kita tidak boleh memandang rendah kemampuan Bhutan dan kita perlu bekerja keras untuk aksi persahabatan ini,” katanya.

Berdasarkan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Bhutan yang menjadikan memanah sebagai sukan nombor satu negara itu berada satu anak tangga mengatasi Mongolia (189) yang berjaya mengikat skuad Harimau Malaya 2-2 pada aksi persahabatan di laman sendiri sebelum ini.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 5:29 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan