Jumaat, 30 Mac 2018

Jangan pandang rendah Bhutan


HAFIZUL HAKIM (kiri) ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukan
HAFIZUL HAKIM (kiri) ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukan baru-baru ini menyedari bahawa Harimau Malaya bakal menghadapi saingan sengit walaupun berdepan dengan pasukan ranking lebih rendah termasuk Bhutan, esok.
Fadhilul Izmel Ishak

31 Mac 2018 3:00 AM

KUALA LUMPUR 30 Mac - Penjaga gol Harimau Malaya, Hafizul Hakim menyifatkan pertemuan me­nentang Bhutan Ahad ini merupakan waktu terbaik untuk dia dan rakan sepasukan me­nebus kekecewaan selepas gagal mencipta kemenangan ke atas Mongolia minggu lalu.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe menerima kritikan apabila terikat 2-2 menentang Mongolia yang merupakan pasukan ke-189 dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Mac lalu, berbanding Malaysia yang berada di kedudukan ke-178. Lawan mereka kali ini berada pada kedudukan ke-188 dan Malaysia akan menentang Bhutan di venue yang sama.


Begitu pun, berdasarkan persembahan yang dipamerkan oleh pemain Harimau Malaya dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lebanon yang berkesudahan tewas 1-2 di tempat lawan pada Selasa lalu, Hafizul percaya Malaysia mampu mencipta kemenangan buat kali pertama sejak 2016.

“Setakat ini, kami tidak me­ngalami kecederaan serius selepas pertemuan menentang Lebanon dan kami semua fokus kepada perlawanan menentang Bhutan. Bagi saya, sama ada lawan yang bakal dihadapi mempunyai ranking lebih rendah atau tinggi bukan keutamaan, sebaliknya kami tidak boleh memandang rendah terhadap Bhutan.

“Saya yakin sekiranya kami mampu mengekalkan rentak permainan ketika menentang Lebanon tempoh hari, tidak mustahil untuk kami mencipta kemenangan, namun yang pen­ting kami tidak boleh berasa terlalu yakin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kali terakhir Malaysia mencipta kemenangan adalah ketika menewaskan Kemboja 3-2 dalam aksi Kumpulan B Piala AFF pada 20 November 2016.

Dalam pada itu, penjaga gol Perak itu menyedari pemain Bhutan sama seperti pemain Mongolia iaitu berstatus semi-pro dan Hafizul mengakui situasi itu memberi tekanan kepada Harimau Malaya.

“Walaupun pemain Bhutan semi-pro, kami tidak boleh mengambil mudah terhadap keupayaan mereka sebab bagi, bertemu dengan pasukan se­perti ini, kami lebih tertekan dan sudah tentu mereka akan memberikan aksi terbaik kerana mahu membuktikan sesuatu.

“Tekanan sudah tentu dirasai oleh kami berbanding menentang pasukan yang mempunyai kedudukan ranking lebih baik daripada kami,” katanya



SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jangan-pandang-rendah-bhutan-1.638711#ixzz5BHfzzbMP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan