Jumaat, 30 Mac 2018

Cheng Hoe optimis robek gawang Bhutan

Jumaat, 30 March 2018 | 7:06pm
 
PEMAIN Harimau Malaya jalani latihan sebelum aksi menentang Bhutan. -Foto Facebook FAM
Cheng Hoe optimis robek gawang Bhutan
Oleh Devinder Singh
devinder@nstp.com.my
PETALING JAYA: Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe yakin barisan pemain kurang berpengalaman Harimau Malaya mampu merobek gawang Bhutan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.

Bhutan yang dibelasah Maldives 7-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia Selasa lalu, dijangka menampilkan corak permainan bertahan pada pertembungan sulung antara kedua-dua pasukan itu.

Sekiranya berlaku, Cheng Hoe perlu mencari jalan untuk membolosi gawang Bhutan, berbeza dengan situasi dihadapi ketika tewas 2-1 kepada Lubnan dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia di Beirut atau ketika seri 2-2 menentang Mongolia dalam aksi persahabatan.

Jentera serangan negara diketuai Zaquan Adha Abd Radzak yang sudah meledak enam gol antarabangsa.

"Sandaran menjaringkan gol tidak boleh diletakkan kepada penyerang semata-mata, barisan tengah juga perlu mencari peluang," kata Cheng Hoe yang dijangka akan melakukan beberapa perubahan selepas perlawanan dengan Lubnan.

"Tidak cukup dengan hanya menguasai permainan kerana kami perlu menang. Kami tahu Bhutan akan bertahan habis-habisan, jadi kami perlu sabar apabila menyerang.

"Dalam bola sepak moden kita tidak boleh terlalu ghairah menyerang kerana kita mungkin terperangkap dengan serangan balas. Ini yang kita pelajari ketika menentang Mongolia."

Penyerang PKNS, Jafri Firdaus Chew dijangka diberikan penampilan pertama di peringkat senior untuk memburu jaringan manakala Syazwan Andik Ishak, Syahmi Safari dan Syawal Nordin turut menjadi taruhan Cheng Hoe.

Malaysia menampilkan persembahan mengejutkan ketika bertemu Lubnan walaupun tidak diperkuat 12 pemain bintang dari Johor Darul Ta'zim, dan hampir mencatat keputusan seri sebelum dikecewakan dengan gol pada masa kecederaan.

Cheng Hoe berharap anak buahnya dapat mengekalkan rentak permainan serupa dalam usaha menamatkan kemarau kemenangan 12 perlawanan sejak November 2016.

"Kita dapat lihat pasukan lebih harmoni dan mula serasi walaupun baru dikumpulkan. Saya harap dapat melihat rentak sama ketika menentang Lubnan ditunjukkan. Tetapi kita perlu memperbaiki kawalan bola dan menjaringkan gol," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 30 March 2018 | 7:06pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan