PEMAIN Malaysia, Mahali Jasuli
dihalang dua pemain Mongolia dalam aksi bola sepak persahabatan di Stadium
Nasional, Bukit Jalil, semalam.
23 Mac 2018 3:00 AM
KUALA LUMPUR 22 Mac – Harimau
Malaya terus dilanda kemarau kemenangan apabila skuad kendalian Tan Cheng Hoe
sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Mongolia dalam aksi persahabatan
kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Itu merupakan perlawanan pertama
skuad kebangsaan di pentas antarabangsa pada tahun ini, namun usaha Cheng Hoe
untuk menghadiahkan kemenangan kepada peminat bola sepak tempatan tidak
kesampaian.
Lebih memalukan, keputusan itu
tidak mencerminkan landskap bola sepak tempatan yang sudah pun memasuki era
profesional kerana difahamkan pemain Mongolia beraksi secara semi-pro apabila
ada dalam kalangan mereka yang bekerja separuh masa serta pelajar.
Ini bukan kali pertama Malaysia
gagal melakar kemenangan ke atas pasukan semi-pro kerana sebelum ini Malaysia
pernah terikat seri tanpa jaringan bertemu Macau dalam aksi persahabatan di
Melaka pada 29 Mac 2016.
Sementara itu, Malaysia terpaksa
menanti hingga minit ke-31 untuk menembusi gawang Mongolia apabila kapten
lawan, Turnat Daginaa tertanduk bola ke gawang sendiri, hasil sepakan sudut
Safawi Rasid.
Bagaimanapun, Mongolia yang hanya
sekali-sekala melakukan asakan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-42
menerusi percubaan Enkhbileg Purevdorj yang memanfaatkan kesilapan benteng
pertahanan pasukan kebangsaan.
Bersambung babak kedua, Akhyar
Rashid yang menggantikan Mahali Jasuli kembali meletakkan Harimau Malaya di
depan apabila rembatannya gagal diselamatkan oleh Enkhtaivan pada minit ke-65.
Bagaimanapun, Mongolia berjaya menyamakan
kedudukan menerusi rembatan bola mati Gangkhuyag Ser-Od-Yanjiv pada minit ke-72
menewaskan penjaga gol skuad kebangsaan, Haziq Nadzli. Malaysia cuba melakukan
asakan bertali arus pada minit-minit terakhir permainan, namun usaha mereka
untuk memburu kemenangan gagal.
Kali terakhir Malaysia mencipta
kemenangan di pentas antarabangsa adalah menewaskan Kemboja 3-2 dalam aksi
Kumpulan B Piala AFF pada 20 November 2016 ketika pasukan di bawah kendalian
Datuk Ong Kim Swee.
sumberArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/malaysia-hanya-seri-dengan-mongolia-1.633090#ixzz5AWeMbBL0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan