Selasa, 20 Mac 2018

30 pelatih diuji hadapi United


ARKIB : 29/04/2009
PETALING JAYA - Jurulatih negara, K. Rajagobal akan memanggil antara 25 hingga 30 pemain bagi menjalani sesi latihan sebagai persediaan Pilihan Malaysia menghadapi Manchester United dalam siri perlawanan persahabatan Jelajah Asia 2009 pada 18 Julai ini.

Bekas jurulatih skuad bawah 20 tahun negara, Harimau Muda ini bagaimanapun tidak dapat membayangkan sama ada akan memilih anak buah lamanya atau meneruskan khidmat tonggak senior kerana terlalu awal untuk berbuat demikian apatah lagi Liga Malaysia masih berlangsung.

Dia yang dilantik ke kerusi panas itu mulai 20 April lalu, cuma mampu membayangkan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya dua perlawanan persahabatan dengan lawan handalan sebagai pemanas badan buat Pilihan Malaysia menjelang aksi menentang The Red Devils.

Kata Rajagobal yang juga mengendalikan skuad bawah 23 tahun negara: "Sama ada cukup atau tidak tempoh 10 hari untuk menyediakan pasukan, terpaksalah saya terima dan cuba buat segala yang terbaik jika itu ditetapkan oleh FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).

"Bagi saya, setiap pemain yang bakal dipanggil berlatih pasti mempunyai impian untuk dipilih menentang kelab sehebat United tetapi saya lebih suka memikirkan masa depan buat pasukan kebangsaan selepas itu," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Rajagobal bagaimanapun mengesahkan tidak akan mengundang mana-mana bintang asing hanya untuk memperkuatkan Pilihan Malaysia walaupun menentang The Red Devils yang memiliki reputasi selaku juara bertahan Liga Perdana England, Liga Juara-juara Eropah dan Piala Kelab Dunia.

"Lebih baiklah kita berikan peluang kepada pemain kita," katanya yang tidak menganggap sepak mula perlawanan persahabatan itu, 5.30 petang sebagai mampu menjejaskan pemain Malaysia yang biasa bermain lebih lewat dalam pertandingan tempatan dan antarabangsa sebelum ini pada pukul 8.45 malam.

"Kita kan orang Malaysia, sudah tinggal di sini bertahun-tahun. Ia okey bagi saya (untuk mula bermain 5.30 petang)," katanya yang turut membarisi Pilihan Selangor yang ditewaskan Manchester United 3-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 1981.

Ketika itu katanya, Selangor yang turut dianggotai Allahyarham Mokhtar Dahari dan mendiang R. Arumugam, sering mengundang beberapa kelab handalan asing lain termasuk Boca Juniors (Argentina) dan Flamengo (Brazil) bagi mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa.

Misi antarabangsa buat skuad negara selepas menentang United ialah Pestabola Merdeka pada awal Ogos ini, diikuti dengan dua perlawanan Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011 menentang Uzbekistan di Tashkent dan Petaling Jaya pada November ini.

Sementara itu, skuad bawah 23 yang turut diterajuinya bagi menghadapi misi utama - Sukan SEA Ke-24 di Laos, Disember ini, turut menghadapi Piala Antara Benua Kedua yang menemukan mereka antaranya dengan Brazil, Jepun, Korea Selatan dan Mexico dari 1 hingga 14 Jun ini.



sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5AIAMd0rJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan