Isnin, 19 Mac 2018

'Hadiah terbaik buat TMJ' [METROTV]

Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my

KEMENANGAN ke atas Mongolia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini amat penting buat skuad Harimau Malaya.

Bukan saja untuk menamatkan kemarau kemenangan lebih setahun yang amat dinantikan oleh penyokong tempatan, malah ia hadiah terbaik buat Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe berharap, keputusan positif ke atas Mongolia nanti diharap dapat 'memujuk' Tunku Ismail yang sebelum ini berhasrat untuk meletakkan jawatan.

"Saya rasa Tunku Ismail patut dikekalkan lagi, beliau sudah buat yang terbaik untuk pasukan kebangsaan dan FAM, memang dalam jangka masa terdekat kita tak nampak hasil tapi kalau lihat jangka masa panjang, sudah terbukti pasukan JDT (Johor Darul Ta'zim) menjadi kelab berjaya dalam Malaysia," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pusat, hari ini.

"Iya memang kita mengharapkan Tunku Ismail kekal dengan FAM. Kita mengharapkan kemenangan tersebut seperti yang diidamkan oleh peminat bola sepak Malaysia. Saya sebagai jurulatih bersama barisan kejurulatihan dan pemain akan beri yang terbaik untuk mendapat kejayaan atau keputusan positif.

Prestasi buruk Harimau Malaya yang gagal mencatat kemenangan dalam lapan perlawanan tahun lalu sehingga menyebabkan kedudukan ranking merosot ke tangga 178 dunia mendorong Tunku Ismail menyuarakan hasrat meletakkan jawatan pada 15 Mac lalu.

Bagaimanapun, beliau belum mengemukakan secara rasmi kepada FAM dan barisan Exco badan induk itu nyata tidak bersetuju dengan hasrat Tunku Mahkota Johor itu.

Aksi menentang Mongolia adalah ujian pertama Cheng Hoe selepas mengambil alih tugas Nelo Vingada yang meletakkan jawatan tahun lalu.

S Kunanlan dan Nor Azam Azih mengalami kecederaan manakala Kiko Insa mengalami jangkitan pada mata memaksa bekas jurulatih Kedah itu membawa masuk Adib Zainuddin sebagai pengganti.

"Kiko ada jangkitan kuman di bahagian mata sebelah kanan jadi dia dikecualikan daripada latihan,semalam  saya lepaskan Nor Azam sebab dia mendapat kecederaan sehingga dua minggu baru pulih. Kita hanya ganti Kiko dengan memanggil Adib Zainuddin dan sekarang saya mempunyai 28 pemain," katanya.

Selepas aksi menentang Mongolia, Harimau Malaya akan berdepan Lubnan bagi aksi terakhir Kumpulan B pada 28 Mac ini di Beirut.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 11:01 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan