Rabu, 21 Mac 2018

4 senior harapan Antara Benua


ARKIB : 08/05/2009
KUALA LUMPUR - Empat pemain daripada skuad kebangsaan yang dibelasah 5-0 oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam Kelayakan Piala Asia 2011, Januari lalu, dipanggil semula bagi menjalani latihan skuad bawah 23 tahun ke Piala Antara Benua, bulan depan.

Khyril Muhymeen Zambri, Amirulhadi Zainal dan gandingan kembar, Aidil Zafuan Radzak serta Zaquan Adha Radzak merupakan antara 32 pemain yang disenaraikan jurulatih K. Rajagobal bagi sesi latihan fasa pertama pusat mulai kelmarin hingga Selasa ini.

Senarai pelatih yang dikeluarkan Jabatan Media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), turut menampilkan dua lagi pemain senior yang pernah menyertai Piala Suzuki AFF di Phuket, Disember lalu tetapi digugurkan menentang UAE iaitu Farizal Marlias dan Asraruddin Putra Omar.

Agak menarik ialah kemunculan penyerang muda Perak, Razali Umar Kandasamy - penjaring terbanyak bersama Liga Super dengan sembilan gol selain Baddrol Bakhtiar dan Mat Sabre Abu (Kedah), Ahmad Fakri Saarani (Perlis) dan Nasril Nourdin serta Nasriq Baharom (Selangor).

Rajagobal, bekas jurulatih Harimau Muda dalam Liga Perdana, turut menamakan sembilan pemain skuad bawah 20 tahun itu ke kem latihan iaitu Faizal Muhamad, Muslim Ahmad, Nazrin Baharuddin, Shukur Jusoh, K. Gurusamy Govandar, Fandi Othman, Mahalli Jasuli, Ahmad Shakir Ali dan Izzaq Faris Ramlan.

Piala Antara Benua Kedua dari 1 hingga 14 Jun ini merupakan gelanggang persediaan awal buat skuad bawah 23 tahun menjelang misi kemuncak - Sukan SEA Ke-25 di Laos, Disember depan.

Tahun lalu, Malaysia diterajui B. Sathianathan, terkandas pada peringkat Kumpulan A setelah dikalahkan Ireland 3-1, menewaskan Iraq 1-0 dan mengikat Nigeria 1-1.

Kejohanan yang tahun ini sepatutnya diadakan di Kuala Terengganu, turut mengundang beberapa negara baru untuk memeriahkannya iaitu Turki, Brazil, Mexico, Thailand, Indonesia dan Korea Selatan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5AOFynl8E
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan