Khamis, 29 Mac 2018

Cheng Hoe optimis pemain baharu mampu mengaum di pentas antarabangsa

29 Mac 2018 3:00 AM
 PARA pemain muda negara memiliki potensi besar untuk menjulang
PARA pemain muda negara memiliki potensi besar untuk menjulang nama Malaysia di pentas antarabangsa pada masa depan.

KETUA jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memuji barisan pemainnya biarpun tewas 1-2 kepada Lebanon dalam aksi terakhir Kumpulan B kelayakan Piala Asia di Beirut malam kelmarin.

Ini kerana Cheng Hoe menyifatkan beliau seakan-akan melihat satu sinar baharu dalam pasukan kebangsaan kerana sebahagian besar pemain yang baru dipanggil telah menunjukkan persembahan positif ketika menentang Lebanon.


Skuad negara menutup kempen kelayakan Piala Asia 2019 dengan menduduki tangga tercorot Kumpulan B selepas hanya meraih satu mata sepanjang enam perlawanan.

Bagaimanapun, Cheng Hoe yang dilantik menjadi pengganti kepada Nelo Vinga­da akhir tahun lalu optimis bahawa pemain-pemain itu memiliki potensi besar untuk menjadi lebih bagus pada masa akan datang.

“Selepas dikumpul dua tiga hari dalam sesi latihan, saya fikir pemain-pemain telah melakukan tugasan terbaik. Saya mahu memuji dan beri kredit kepada pemain-pemain kerana mereka bermain baik ketika bertemu pasukan lebih bagus.

“Saya berharap perlawanan ini akan menjadi suatu pengajaran serta pembelajaran berguna buat mereka. Pada masa sama, saya berharap mereka akan konsis­ten untuk masa depan kerana mereka masih muda.

“Saya telah membawa 13 pemain baharu. Kami hanya berlatih dua atau tiga hari tetapi mereka menunjukkan persembahan baik dan saya berharap kami dapat meneruskan persembahan itu dan inilah adalah gene­rasi baharu untuk Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Kosmo! sebelum ini me­laporkan, Cheng Hoe telah membuat keputusan mengejut apabila melepaskan 14 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas seri 2-2 menentang Mongolia dalam aksi pemanas badan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur minggu lalu.

Bagaimanapun, dua daripada 14 pemain Harimau Selatan itu iaitu Syafiq Ahmad yang menjaringkan gol tunggal skuad negara ketika menentang Lebanon dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor telah dipanggil semula.

Sebelum ini, Cheng Hoe telah memanggil sembilan pemain bagi menggantikan 14 pemain JDT iaitu pe­nyerang PKNP FC, Shahrel Fikri, Syazwan Zaipol dan Nazirul Naim Che Hasmin (Perak), Nor Hakim Hassan (Te­reng­ganu FC), Jafri Firdaus Chew dan Shahril Shaari (PK­NS FC), Syawal Nordin (Kedah), Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak (Kuala Lumpur) dan R. Ko­gileswaran (Pahang).
SUMBER=KOSMO ONLINE 29 Mac 2018 3:00 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan