Jumaat, 23 Mac 2018

Pemain muda negara bagus!

Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
 
JURULATIH Mongolia, Michael Weiss berpendapat, pemain muda negara perlu lebih diberi peluang bersama skuad senior.

   Beliau yang menyaksikan skuad bawah 23 tahun (B-23) kendaliannya tewas 0-2 kepada anak buah Datuk Ong Kim Swee pada kelayakan Piala AFC di Bangkok, Thailand tahun lalu berkata, Malaysia memiliki ramai pemain muda yang sedang meningkat potensinya.

   "Malaysia pasukan yang bagus, saya menyaksikan skuad B-23 Malaysia tahun lalu. Saya tak tahu kenapa pemain nombor tujuh (Akhyar Rashid) tidak ada dalam kesebelasan utama. Dia banyak memberi masalah kepada kami, dan saya tidak ada banyak pilihan pemain untuk dimasukkan.

   "Malaysia mempunyai pemain yang sedang meningkat, mereka cuma perlu diberi peluang bermain. Tapi ini hanya sekadar pandangan saya saja," katanya pada sidang media selepas perlawanan semalam.

   Weiss yang sebelum ini membimbing Filipina nyata berjaya membaca permainan Malaysia apabila pasukannya yang dibarisi ramai pemain separuh profesional dan 80 peratus pemain daripada skuad B-23 berjaya mengikat Harimau Malaya seri 2-2.

   "Saya bersama dengan pasukan Mongolia baru setahun tapi saya pernah bersama Filipina selama tiga tahun, saya tahu bola sepak di Asia Tenggara. Saya banyak membuat kajian dan saya tahu bagaimana nak mengganggu permainan Malaysia.

   "Kita tahu Natxo (Insa) pemain yang bagus di bahagian tengah tapi kita berjaya menyekatnya daripada merancang permainan," katanya.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 5:17 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan