Rabu, 13 November 2019

Tiga azimat Harimau Malaya


MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
TAKTIKAL disiplin, komitmen atas padang dan sokongan puluhan ribu penyokong bakal menjadi pertaruhan Tan Cheng Hoe apabila anak didiknya turun melayan kunjungan Thailand dalam aksi keempat Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Menurut Cheng Hoe, tiga elemen berkenaan kunci untuk memastikan sasaran meraih tiga mata penuh mampu dilakar bagi memperbaiki kedudukan pasukan yang ketika ini hanya memungut tiga mata hasil kemenangan 3-2 ke atas Indonesia pada aksi pertama kumpulan September lalu.

Dua kekalahan di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam dengan keputusan 1-2 dan 0-1 perlu dilupakan untuk kembali mencari rentak kemenangan sekaligus memperbaiki kedudukan dalam kumpulan.

"Thailand kali ini mendapat sentuhan jurulatih Jepun yang terkenal. Sudah tentu pemain mereka akan tampil dengan lebih keyakinan dan motivasi tinggi.

"Malah, dengan beberapa gandingan pemain baharu dan pemain berpengalaman sudah tentu mereka akan beri saingan sengit kepada kita di malam esok.

"Namun apa saya harapkan, pemain kita akan turun dengan komitmen tinggi, taktikal disiplin yang terbaik dan sokongan padu semua pihak tak mustahil sesuatu mampu dilakar," katanya pada sidang media, hari ini.

Mengulas mengenai rekod pertemuan di Bukit Jalil yang dilihat lebih memihak skuad negara, pengendali dari Kedah itu mengganggap ia suatu pencapaian baik namun menegaskan aksi malam esok pastinya menyajikan persaingan berbeza.

Sebagai rekod, pertembungan kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan Harimau Malaya lebih unggul berbanding lawan sejak 15 tahun lalu.

Skuad negara tidak tewas di gelanggang itu apabila meraih satu kemenangan dan tiga seri dalam empat kali pertemuan sejak 2004 hingga kini.

Pada 2004, Malaysia menewaskan Thailand 2-1 dalam saingan Piala AFF sebelum seri pada baki pertemuan dengan yang terakhir di separuh akhir pertama Piala AFF tahun lalu menyaksikan kedua-duan pasukan terikat tanpa jaringan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 6:29 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan