BERNAMA | | 6 November 2019
Tan Cheng Hoe
SELEPAS mengejutkan pasukan
Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand kini sedang dalam persiapan mengekalkan
rekod tanpa kalah, dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023,
apabila bertemu skuad Harimau Malaya pada 14 November ini.
Ketua jurulatih skuad Gajah
Perang, Akira Nishino telah memanggil beberapa pemain utama seperti perancang
tengah, Chanathip Songkrasin yang bermain bersama kelab Hokkaido Consadole
Sapporo di liga utama Jepun (J1) dan pemain pertahanan kelahiran Perancis,
Tristan Do yang terlepas aksi terdahulu, kerana kecederaan.
Pengendali dari Jepun itu juga
telah memanggil pemain berpengalaman seperti penyerang, Thitiphan Puangjan,
penjaga gol Kawin Thamsatchanan yang bermain untuk kelab OH Leuven di Belgium
dan Sarach Yooyen bagi memantapkan pasukan menjelang aksi menentang Malaysia di
Stadium Nasional Bukit Jalil dan Vietnam di Hanoi lima hari kemudian.
Bagaimanapun, ketua jurulatih
skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kekal positif dan yakin anak-anak buahnya
mampu melakarkan kejutan untuk mengekang pasukan yang menduduki ranking ke-109
dunia itu.
“Saya rasa semua jurulatih
memandang serius kempen kelayakan ini dengan pendekatan mereka untuk mengumpul
mata. Kemasukan Chanathip dan Thitiphan yang cedera serta pemain senior yang
berpengalaman luas, menambah kekuatan mereka.
“Tetapi persediaan kita juga
cukup rapi dan pemain pun dah habis musim Liga Malaysia, saya harap mereka
dapat fokus dalam dua perlawanan terakhir bagi tahun ini, untuk lakar keputusan
positif.
"Mereka pun sudah pasti mahu
kemenangan untuk mencapai sasaran kita,” katanya ketika ditemui pada sesi
latihan di padang Majlis Sukan Negara Bukit Jalil di sini hari ini.
Beliau turut harap kelebihan
beraksi di laman sendiri juga akan membantu pasukan Malaysia yang menghuni
ranking ke-158 dunia, menyekat hasrat Thailand untuk mengekalkan rekod bersih
dalam kempen itu.
Selepas tiga aksi pusingan kedua
kempen kelayakan itu, Thailand berada di kedudukan teratas Kumpulan G walaupun
berkongsi tujuh mata dengan Vietnam manakala Malaysia berada di tempat keempat
dengan tiga mata.
Mengikut rekod pertemuan
melibatkan kedua-dua pasukan sejak 1959, Malaysia pernah melakar kemenangan
sebanyak 40 kali, tewas 35 kali dan seri 35 kali.
Sebelum bertemu Thailand, skuad
Harimau Malaya akan berhadapan Tajikistan dalam aksi persahabatan pada Jumaat
ini, diikuti aksi kelayakan menentang Indonesia pada 19 November di venue yang
sama.
Cheng Hoe berkata, beliau tidak
akan membuat perubahan besar dalam kesebelasan utama menentang Tajikistan
selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Maldives dalam aksi pemanas badan
semalam.
“Itu hanya aksi latihan, saya
memberikan peluang kepada pemain-pemain yang tidak beraksi dalam separuh akhir
dan final Piala Malaysia supaya mereka dapat merasai prestasi perlawanan dan
tekanan perlawanan bagi menguji keserasian dan kombinasi pasukan,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah
Kedah, Baddrol Bakhtiar yang kembali dipanggil menyarung jersi kebangsaan
selepas hampir dua tahun, bertekad untuk membalas kepercayaan barisan
kejurulatihan, dengan mempamerkan aksi terbaiknya.
“Dengan panggilan kali ini, saya
nak beri yang terbaik untuk meraih keputusan positif kepada pasukan. Bagi saya,
bergandingan dengan sesiapa pun tiada masalah, kerana mana-mana pemain yang
diturunkan akan beri 100 peratus,” katanya.
Walaupun kali pertama mendapat
panggilan ke skuad kebangsaan di bawah kendalian Cheng Hoe, pemain berusia 31 tahun
itu yang pernah bermain di bawah jurulatih itu di Kedah yakin dapat memahami
taktikal Cheng Hoe dengan cepat. - Bernama
SUMBER-Artikel Penuh :
https://www.sinarharian.com.my/article/55981/BERITA/Sukan/Cheng-Hoe-sedia-kekang-rekod-bersih-Thailand
© 2018 Hakcipta Terpelihara
Kumpulan Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan