Sabtu, 23 November 2019

Digugurkan...titik perubahan Safawi Rasid

SUKAN»Bola
Khamis, 21 November 2019 | 5:42pm
 
Pemain pasukan Malaysia Muhammad Safawi Rasid meraikan jaringan gol bagi pasukan Malaysia pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ketika menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
Digugurkan...titik perubahan Safawi Rasid
KUALA LUMPUR: Ini bukan kali pertama bintang sensasi Harimau Malaya Muhammad Safawi Rasid diketepikan ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22), negara Datuk Ong Kim Swee dalam pasukannya.

Pada 2016, Kim Swee yang ketika itu menjawat jawatan selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan mengambil keputusan menggugurkan nama Muhammad Safawi daripada senarai akhir pemain menghadapi saingan Piala AFF, yang menyaksikan Malaysia gagal mara ke separuh akhir.

Selepas tiga tahun, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 dan 2019 itu kini menikmati kemuncak karier, selepas membuktikan kualiti dimiliki di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan dan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada peringkat domestik.

Pengguguran Muhammad Safawi, 22, pada waktu itu diibaratkan sebagai titik perubahan dalam kariernya, apabila selepas itu beliau bangkit dengan prestasi lebih meyakinkan dan Kim Swee mahu setiap pemain muda mencontohi kesungguhan serta sifat tidak putus asa dimiliki beliau.

“Kalau tidak silap ia (titik perubahan) pada Piala AFF 2016 di mana saya menggugurkan beliau (Muhammad Safawi) ketika itu. Apabila digugurkan, beliau kembali dengan begitu positif dan tidak berputus asa...ini memberikan beliau satu keyakinan cukup baik.

“Setiap pemain harus mencontohi Safawi, di mana apabila beliau gagal atau digugurkan, tetap kembali dengan lebih kekuatan dan kini beliau adalah pemain terbaik di negara kita,” kata Kim Swee kepada Bernama.

Kim Swee semalam mengesahkan untuk tidak menyenaraikan Muhammad Safawi dalam skuad negara ke Sukan SEA 2019 di Filipina, demi kebaikan pemain itu yang mengharungi begitu banyak perlawanan musim ini.

Bekas pemain sayap pasukan T-Team itu melakar rekod cemerlang bersama JDT musim ini, apabila meledak 20 gol dan merekodkan 10 ‘assist’ sepanjang 3,088 minit permainan membabitkan 37 penampilan.

Nama Muhammad Safawi kini menjadi sebutan seluruh peminat bola sepak tanah air, selepas meledak dua gol dalam kejayaan Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.

Kemenangan itu sekali gus membantu skuad Harimau Malaya kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, melengkapkan tahun 2019 dengan penuh gemilang.

Kim Swee yang membimbing Muhammad Safawi bersama skuad kebangsaan serta skuad B-22 negara mengakui, pemain kebangsaan itu memiliki kekuatan kaki kiri dan sering meluangkan masa sekitar 15-20 minit membuat latihan tambahan, selepas tamat sesi latihan pasukan.

“Kita dapat lihat Safawi kini berada pada tahap berbeza dan ini bukan saja daripada hasil usaha barisan jurulatih, tetapi keyakinan diri Safawi sendiri dan kesungguhan beliau yang membawanya ke tahap cukup baik ini.

“Dalam sesi latihan beliau fokus kepada setiap keadaan tetapi yang memberi kelebihan sudah tentu sepakan percumanya, di mana beliau mempunyai kesungguhan untuk berlatih (sepakan percuma) setiap hari, selepas tamat latihan.

“Apabila kita berlatih dengan baik ketika sesi latihan, ia akan berlaku serta ‘menjadi’ di setiap perlawanan,” jelas Kim Swee.

Pengguguran Muhammad Safawi mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif oleh peminat tempatan, namun apa yang pasti sebagai jurulatih, Kim Swee hanya mahukan yang terbaik buat pemain itu.

Adakah dengan keputusan Kim Swee ini, seluruh peminat bola sepak tempatan akan menyaksikan peningkatan prestasi lebih baik daripada Muhammad Safawi pada musim 2020? – BERNAMA.[1]


[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/11/630788/digugurkantitik-perubahan-safawi-rasid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan