Sukan
Isnin, 15 September 2014 |
11:25am
Sukan Asia 2014: Kim Swee gesa
pemain bangkit, tumpu aksi temu Laos
REAKSI Jurulatiah Pasukan Harimau
Muda, Datuk Ong Kim Swee selepas tewas kepada pasukan Korea, 3-0 pada saingan
peringkat kumpulan Sukan Asian Incheon 2014 di Stadium Munhak.. - Foto Yazit
Razali
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih
skuad Bawah 23 tahun Malaysia, Datuk Ong Kim Swee mengakui jurang dimiliki skuad
bimbingannya dengan tuan rumah, Korea Selatan selepas tewas 3-0 dalam
perlawanan pertama Kumpulan A di Sukan Asia, Incheon, semalam.
Malah, ia turut dibuktikan dengan statistik apabila hanya dua percubaan
tepat dalam tempoh 90 minit berjaya dilakukan anak buahnya ke gawang Korea pada
aksi di Stadium Munhak itu dengan lawan memiliki rentetan peluang terbaik.
Sekalipun pedih, kekalahan itu diakui Kim Swee tidak mengganggu
perancangannya untuk kembali meraih kemenangan ke atas Laos pada perlawanan kedua
peringkat kumpulan pada 17 September ini sebelum berdepan satu lagi pasukan
pilihan, Arab Saudi pada aksi terakhir kumpulan.
"Fokus sekarang adalah hadapi Laos dan bukannya Arab Saudi kerana
kita perlu menang dengan Laos terlebih dulu. Saya tidak mahu ambil pusing
mengenai perlawanan antara Korea Selatan yang akan menentang Arab Saudi pada
hari sama.
"Kita tiada pilihan lain selain menang ke atas Laos. Dan saya mahu
pemain lupakan kekalahan ini dan bangkit untuk menghidupkan kembali
peluang," kata Kim Swee.
Kemenangan ke atas Laos amat ditagih dan seandainya gagal dilaksana,
perlawanan menentang Arab Saudi boleh dianggap aksi pelengkap jadual.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin,
15 September 2014 | 11:25am
Tiada ulasan:
Catat Ulasan