Isnin, 4 November 2019

‘Gol cantik Luqman Hakim boleh masuk Anugerah Puskas’

NURUL RIDUAN NOR ASHAHA | | 3 November 2019
 
Luqman Hakim (dua dari kanan) bersama rakan pasukan meraikan jaringan buat negara dalam aksi Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Stadium Kebangsaan Olimpik, Phnom Penh semalam. - Foto: Asian Football Confederation

DI SEBALIK kemenangan sukar yang diraih Skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara dalam aksi menentang Kemboja pada Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Stadium Kebangsaan Olimpik, Phnom Penh semalam, jaringan Luqman Hakim Shamsudin menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air.


Penyerang muda itu meledakkan gol keempat negara pada minit ke-67 sebelum Muhd Muslihuddin Atiq Mat Zahid menjaringkan gol kemenangan pada m-74 bagi memastikan Malaysia menang 5-4 dalam aksi pertama itu.

Apa yang menariknya adalah jaringan Luqman Hakim hadir melalui sepakan dari tengah padang yang terus menuju ke dalam gawang lawan.


Penjaga gol Kemboja yang tidak menjangkakan sepakan Luqman Hakim itu namun dia tetap berusaha menepisnya tetapi gagal.

Pengguna Twitter, @HasanZamzuri yang kagum dengan jaringan berkenaan memohon supaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencalonkan Luqman Hakim untuk Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

“Jaringan terbaik dan terbaik. Tahniah Luqman Hakim kerana mengharumkan negara. FAM boleh daftar pencalonan Puskas FIFA akan datang,” tulisnya.

@iqmalerfan_, @broyal_ace turut berkonsi pendapat yang sama berhubung jaringan Luqman Hakim berkenaan.

“Level Puskas,” tulis @iqmalerfan_.


Penjaga gawang Kemboja gagal membaca sepakan yang dibuat oleh Luqman Hakim dalam aksi Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Stadium Kebangsaan Olimpik, Phnom Penh semalam.
Dalam aksi berkenaan, kendalian Brad Maloney terpaksa berhempas pulas sebelum merekodkan kemenangan pertama menentang tuan rumah.

Ia berikutan dua layangan kad merah yang diterima Ahmad Zikri Khalili dan Mukhairi Ajmal yang menyebabkan lebih banyak ruang diberikan kepada pihak lawan untuk mencipta kebangkitan.

Sebelum itu, Malaysia bermula langkah kanan apabila mengakhiri babak pertama dengan kedudukan selesa mendahului 3-0.

Tiga gol negara dihasilkan oleh Muhammad Shafi Azswa pada m-30, diikuti jaringan Muhammad Fakrul Iman (m-40) dan Muhammad Azrin Afiq (m-43).

Untuk aksi kedua Rabu ini, anak buah Brad Maloney dijadualkan menentang Brunei.

Mengikut rekod, Mohd Faiz Subri merangkul Anugerah Puskas untuk jaringan gol paling cantik sepanjang 2016, justeru meletakkan namanya sebaris dengan pemenang terdahulu seperti bintang tersohor, Cristiano Ronaldo dan Neymar.

Penyerang Pulau Pinang berusia 29 tahun itu menerima anugerah tersebut hasil keunikan sepakan percuma tersebut pada majlis gilang-gemilang di Zurich.

Faiz juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.

Jaringan luar biasa beliau itu, antara yang dianggap paling menarik sepanjang tahun 2016, mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Sepakan percuma itu agak mengelirukan dengan bola pada mulanya melencong ke arah penjuru kanan gawang Pahang sebelum ia secara tiba-tiba bertukar arah menyebabkan penjaga gol, Nasril Nourdin tergamam.
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/55381/BERITA/Sukan/Gol-cantik-Luqman-Hakim-boleh-masuk-Anugerah-Puskas
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan