MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
JARINGAN
kemenangan 2-1 menerusi ledakan voli Mohamadou Sumareh bukan sahaja dihadiahkan
kepada skuad Harimau Malaya, malah ia turut didedikasikan kepada bapanya yang
hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Sumareh atau
lebih dikenali dengan panggilan Keli Boy berkata, kemenangan mengatasi Thailand
dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baginya cukup bermakna
kerana ini adalah perlawanan pertama yang disaksikan oleh bapanya sejak dia
berkecimpung dalam dunia bola sepak.
Kata pemain
sayap Pahang itu, bapanya sebelum ini melarangnya memilih karier sebagai pemain
profesional namun selepas melihat dia mula mencipta nama di Malaysia akhirnya
terpaksa akur dengan kerjaya anak kesayangannya itu.
"Hari ini
(semalam) hari cukup penting bagi saya, bukan saja kerana menjaringkan gol dan
dapat gembirakan penyokong tetapi ia juga untuk bapa saya yang datang melihat
saya bermain kerana dia tak pernah lihat saya bermain bola sepak sebelum ini.
"Dia
pernah kecewa dengan saya sebab memilih bola sepak tetapi hari ini saya dapat
lihat dari renungan matanya yang dia sungguh berbangga dengan saya sekarang dan
ia suatu perasaan yang cukup bermakna dalam hidup saya," katanya.
Sumareh
(tengah) meraikan gol yang dijaringkan ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia
Qatar 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand.
Dalam aksi
keempat Kumpulan G itu, Malaysia berjaya mengekalkan rekod baik ke atas skuad
Gajah Perang di laman sendiri untuk terus membuka peluang pasukan mengintai ke
pusingan berikutnya.
Begitupun,
Thailand yang menduduki ranking dunia lebih tinggi di tangga ke-109 membuka
jaringan seawal minit keenam menerusi Chanatip Songkrasin sebelum tuan rumah
bangkit menyamakan kedudukan 1-1 di minit ke-26 dijaringkan Brendan Gan.
Sumareh, 25,
muncul wira untuk menjaringkan gol kemenangan yang juga gol ketujuhnya secara
peribadi di pentas antarabangsa sejak menyarung jersi Harimau Malaya pada
Oktober tahun lalu.
Skuad negara
akan menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini sementara
Thailand dijadual bertemu Vietnam di Hanoi.
SUMBER-Artikel
ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 9:24 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan