WARTAWAN SINAR HARIAN | | 10 November 2019
Safawi meraikan kejayaan setelah menjaringkan gol pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Tajikistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam semalam.
KEJAYAAN menumbangkan Tajikistan menjadi motivasi terbaik buat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi dua jiran tetangga - Thailand dan Indonesia pada Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid berkata, kemenangan 1-0 pada aksi pemanas badan itu dapat meningkatkan keyakinan dirinya dan rakan-rakan sepasukannya menjelang aksi Kumpulan G menentang Thailand Khamis ini dan Indonesia pada Selasa depan.
Apa yang lebih menggembirakan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu apabila dia mengakhiri kemarau gol di pentas antarabangsa selepas kali terakhir meledak dua gol dalam kemenangan 7-1 ke atas Timor Leste pada aksi playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jun lalu.
“Sudah perlawanan saya tak menjaringkan gol untuk pasukan negara. Saya berterima kasih kepada yang menyokong dan memberi semangat kepada saya, saya gembira apabila kembali menjaringkan gol.
“Mungkin ini sebagai motivasi yang bagus untuk saya dan rakan-rakan untuk mendapatkan keyakinan lagi sebelum perlawanan bertemu Thailand dan Indonesia nanti,” katanya selepas aksi menentang Tajikistan malam semalam.
Safawi turut optimis kombinasi barisan pemain sedia ada mampu memacu Harimau Malaya kembali meraih kemenangan selepas tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam dalam dua aksi Kumpulan G terdahulu.
“Macam perlawanan sebelum ini kita banyak mencipta peluang tapi tidak menyempurnakannya dengan baik, jadi itu yang perlu kami perbaiki sebelum menentang Thailand dan Indonesia,” ujarnya.
Pemain tengah yang juga kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar turut mengakui kemenangan ke atas Tajikistan menjadi penyuntik semangat sebelum aksi menentang Thailand dan Indonesia.
“Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini. Tajikistan adalah pasukan yang kuat dan ini menjadi motivasi buat kami selain pengubat kekecewaan selepas tewas kepada Vietnam sebelum ini.
“Saya lihat pasukan yang ada sekarang lebih baik. Bagi saya, siapa yang diturunkan dan siapa yang dipilih coach (Tan Cheng Hoe) nanti, yang penting sentiasa yakin dengan rakan-rakan sepasukan,” katanya.
sumberArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/56616/BERITA/Sukan/Semangat-Harimau-Malaya-kian-membara
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan