SUKAN»Bola
Sabtu, 23 November 2019 | 8:32am
MALAYSIA mara ke final Kejohanan
Sekolah-Sekolah Asia Bawah 18 selepas menewaskan Indonesia di Balikpapan malam
tadi.
Malaysia ke final Sekolah-Sekolah
Asia
KUALA LUMPUR: Malaysia sekali
lagi ‘menabur garam di luka’ Indonesia apabila pasukan negara menyingkirkan
Indonesia pada separuh akhir Kejohanan Bawah 18 tahun (B-18) Sekolah Sekolah
Asia 2019 di Stadium Batakan, Balikpapan, malam tadi.
Skuad negara yang semuanya
dibarisi pemain berusia 16 tahun mengetepikan pasukan B-18 Indonesia 5-3
menerusi sepakan penalti penentuan selepas kedua dua pasukan terikat 1-1
selepas masa sebenar.
Beraksi di hadapan 40,000
penyokong tuan rumah yang masih ‘panas’ dengan kekalahan skuad senior mereka di
tangan Harimau Malaya, Selasa lalu, anak buah Sabri Abd Saffar seharusnya
dipuji apabila berjaya menguatkan mental untuk berdepan provokasi melampau
daripada penyokong Indonesia
Malah, mereka turut berdepan
dugaan apabila terpaksa tiba lewat ke stadium susulan masalah keselamatan
selain penyokong tuan rumah yang tidak menghormati lagu ‘Negaraku’,
mengeluarkan laungan yang tidak enak untuk didengari dan balingan botol ke
dalam padang sepanjang perlawanan berlangsung.
Bagaimanapun, pemain muda negara
membuktikan mereka berada pada kelas tersendiri sekalipun terpaksa beraksi
dengan 10 pemain dan jaringan kemenangan mereka dibatalkan kerana bola
dikatakan terkena tangan pemain Malaysia sebelum jaringan dilakukan.
Dan seperti ‘kebiasaan’ selepas
tamat perlawanan menentang Indonesia di tempat lawan, pemain Malaysia dihujani
dengan balingan botol oleh penyokong Indonesia yang jelas tidak dapat menerima
satu lagi kekalahan pasukan mereka di tangan Malaysia.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia
mara ke final untuk menempah pertemuan bersama Thailand sekali gus memperbaiki
pencapaian edisi lalu yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di tempat
keempat.[i]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan