Jumaat, 29 November 2019

KEPUTUSAN MASA PERTAMA FILIPINA 0-0 MALAYSIA




MALAYSIA 0-0FILIPINA




MALAYSIA:
01. Haziq Nadzli (PG);
03. Dominic Tan,
17. Irfan Zakaria,
02. Adam Nor Azlin (C);
20. Syahmi Safari,
16. Danial Amier,
14. Syamer Kutty Abba,
13 R. Dinesh
19. Akhyar Rashid (6 Danial Haqim 78'),
09. Hadi Fayyadh,



11.Nik Akif Syahiran    

Irfan tekad perkemas benteng Harimau Muda


WARTAWAN SINAR HARIAN | | 27 November 2019
 
Irfan (tengah) giat berlatih bersama skuad B-22 negara di Stadium Memorial Rizal, Manila semalam. - Foto: Persatuan Bola Sepak Malaysia
TONGGAK pertahanan skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara, Muhammad Irfan Zakaria optimis mampu membentuk persefahaman yang lebih ampuh bersama rakan-rakan sepasukannya menjelang pertemuan menentang Filipina pada aksi kedua Kumpulan A Sukan SEA 2019 di Stadium Memorial Rizal, Filipina Jumaat ini.


Pada aksi pembukaan menentang Myanmar yang menyaksikan Harimau Muda sekadar mencatat keputusan seri 1-1 Isnin lalu, Irfan digandingkan bersama-sama kapten, Adam Nor Azlin serta Dominic Tan di barisan pertahanan.

Menyedari ada kelompongan yang masih boleh diperbaiki selepas aksi tersebut, Irfan bertekad mengekang jentera serangan Filipina yang pastinya mendapat sorakan padu daripada penyokong sendiri nanti.


“Perlawanan pertama banyak kekurangan... kami juga telah melihat kesilapan, kelemahan dan kekurangan menerusi analisis video. Selepas ini kami akan cuba sedaya upaya untuk meningkatkan prestasi.

"Saya harap kami dapat memberikan aksi yang lebih baik apabila menentang Filipina nanti. Saya yakin Filipina juga sudah pasti mahukan kemenangan pada perlawanan kedua ini selepas mereka seri dengan Kemboja," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Memorial Rizal, Manila hari ini.

Irfan, 24, yang membuat penampilan ketiga pada temasya dwitahunan itu sejak edisi 2015 bersama-sama Adam Nor Azlin, 23, merupakan dua pemain lebih umur mewakili skuad B-22 negara pada Sukan SEA kali ini.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/59414/BERITA/Sukan/Irfan-tekad-perkemas-benteng-Harimau-Muda
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf


Akhyar Rashid sedia tenggelamkan Filipina

SUKAN»Bola
Jumaat, 29 November 2019 | 12:33pm
 
Gambar fail, Akhyar Rashid (kanan) cuba melepasi 2 pemain Myanmar, pada perlawanan peringkat kumpulan A bola sepak Sukan SEA Filipina 2019 di Stadium Memorial Rizal, Isnin lalu. - Foto Osman Adnan
Akhyar Rashid sedia tenggelamkan Filipina
Daripada Helmi Talkah di Manila
helmi.talkah@bh.com.my
MANILA: Pemain sayap skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Akhyar Rashid mahu memanfaatkan kelebihan dimilikinya bagi membantu pasukan mencipta kemenangan ke atas Filipina dalam aksi Kumpulan A Sukan SEA 2019 di Stadium Rizal Memorial, malam ini.

Pemain berusia 19 tahun itu, berkata peluang menyaksikan perlawanan antara Filipina menentang Myanmar, semalam membolehkan dia dan rakan sepasukan mengkaji kelemahan dimiliki pasukan lawan itu.

“Bagi saya pertemuan dengan Filipina akan menjadi perlawanan yang sukar terutama fizikal pemain mereka lebih besar.

“Namun, apa yang saya lihat, mereka juga ada buat kesilapan dan sudah pasti kami boleh gunakan kelebihan itu untuk mencipta gol,” kata Akhyar yang memiliki kelebihan dari aspek kelincahannya mengawal bola dan larian yang pantas.

Skuad negara dan Filipina berkongsi misi yang sama menjelang aksi malam esok dengan kedua-dua pasukan memburu tiga mata pertama.

Malaysia seri 1-1 dengan Myanmar pada aksi pembukaan manakala Filipina terikat 1-1 dengan Kemboja. Namun, The Azkals yang turun dalam aksi kedua tewas 1-2 di tangan Myanmar, kelmarin.

Berbanding Malaysia, Filipina lebih tertekan memandangkan mereka hanya mengutip satu mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Sementara itu, pemain muda, Umar Hakeem Suhar Rezwan berkata dia sudah bersedia sekiranya diberikan kepercayaan sekali lagi untuk berada dalam kesebelasan utama pada pertemuan dengan Filipina.

Pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee memberikan kepercayaan kepada pemain berusia 17 tahun itu berada dalam kesebelasan utama ketika aksi menentang Myanmar sebelum dia dikeluarkan pada separuh masa kedua.

“Saya fikir jurulatih (Kim Swee) sudah mempunyai perancangannya untuk mengatasi Filipina dan sebagai pemain ikut perancangan jurulatih. Sama ada saya diturunkan atau tidak itu terpulang kepada jurulatih.

“Sebagai pemain, saya sentiasa bersedia sekiranya diturunkan,” katanya.[1]



[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/11/633167/akhyar-rashid-sedia-tenggelamkan-filipina

Selasa, 26 November 2019

Luqman harap peluang kedua

SUKAN»Bola
Selasa, 26 November 2019 | 1:14pm
            
PEMAIN Malaysia, Luqman Hakim (kiri) beraksi dalam perlawanan menentang Myanmar pada aksi Sukan SEA 2019 di Stadium Memorial Rizal. - Foto BERNAMA
Luqman harap peluang kedua
Oleh Helmi Talkah
helmi.talkah@bh.com.my
MANILA: Bintang muda, Luqman Hakim Shamsuddin mohon diberi kepercayaan sekali lagi bagi membarisi kesebelasan utama skuad bawah 22 tahun (B-22) negara pada aksi kedua Kumpulan A Sukan SEA 2019 menentang Filipina, Jumaat ini.

Penyerang berusia 17 tahun itu mendapat kepercayaan pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee bagi membarisi kesebelasan utama buat kali pertama ketika seri 1-1 dengan Myanmar semalam tetapi kelibatnya gagal mencetuskan impak yang turut menyaksikan dia dikeluarkan pada babak kedua.

Justeru, pemain yang bakal menyarung jersi kelab Liga Divisyen Satu Belgium, KV Kortrijk itu bertekad mahu menebus aksi hambarnya ketika menentang Myanmar andai diturunkan menentang Filipina.

“Saya belum berpuas hati lagi dengan prestasi saya (ketika menentang Myanmar) kerana masih ada banyak kekurangan. Saya akui bergelut dalam perlawanan pertama,” kata pemain kelahiran Kelantan itu.

“Saya berjanji akan memberi aksi yang lebih baik jika sekali lagi diberi kepercayaan oleh jurulatih untuk berada dalam kesebelasan utama.”

Selain Luqman, Kim Swee turut memberi kepercayaan kepada seorang lagi pemain muda, Umar Hakeem Suhar Rezwan bagi membarisi kesebelasan utama tetapi turut dikeluarkan pada babak kedua perlawanan.

Walaupun gagal mencetuskan impak yang besar, Kim Swee beranggapan kedua-dua pemain muda itu menunjukkan persefahaman yang baik bersama pemain senior dalam pasukan.

“Umar bermain dengan baik manakala Luqman boleh dikatakan masih lagi berada pada tahap memuaskan tetapi belum cukup memuaskan. Dia perlu diberi masa termasuklah Umar.

“Dua pemain ini menunjukkan persefahaman yang baik dan itu lebih penting daripada apa yang saya inginkan. Saya mahu pemain senior dalam pasukan dan pemain muda bergabung bagi membina kombinasi yang baik bagi menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.[1]



[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/11/632156/luqman-harap-peluang-kedua

Bangkitlah Luqman! [METROTV]

MyMetroArena

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
DATUK Ong Kim Swee mahu penyerang muda berusia 17 tahun, Luqman Hakim Shamsudin segera menyesuaikan diri dan tampil lebih tajam seperti mana yang dilakukannya ketika bersama skuad bawah 18 (B-18) tahun negara sebelum ini.

Permintaan pengendali skuad B-22 itu susulan aksi longlai yang diperagakan Luqman ketika terikat 1-1 dengan Myanmar dalam aksi pertama Kumpulan A Sukan Sea di Stadium Memorial Rizal semalam.

Justeru, Kim Swee berharap pemain yang tersenarai antara 60 penyerang muda terbaik dunia (dikeluarkan oleh The Guardian-media antarabangsa yang berpangkalan di Britain) itu dapat memperbaiki prestasinya untuk tiga aksi berikutnya selepas ini.

“Luqman boleh dikatakan masih lagi berada dalam tahap memuaskan tapi belum lagi pada tahap yang cukup memuaskan,” kata Kim Swee ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, Luqman dan seorang lagi pemain sayap berusia 17 tahun, Umar Hakeem Suhar Rezwan yang diturunkan dalam kesebelasan utama harus mencari segera keserasian dengan pemain senior yang lain.

“Dia (Luqman) perlu diberi masa termasuk Umar. Jadi dua pemain ini perlu menunjukkan persefahaman yang baik itu yang lebih penting.

“Daripada apa yang saya inginkan di mana kesemua pemain baik dari senior B-22 dan pemain muda kena bergabung dan mempunyai kombinasi lebih baik untuk perlawanan akan datang,” katanya.

Mengulas mengenai tahap kecederaan Akhyar Rashid yang dikeluarkan pada babak kedua menentang Myanmar, beliau mengesahkan tonggak sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu hanya mengalami kekejangan otot dan sempat untuk pulih sebelum menentang Filipina Jumaat ini.

“Akhyar bukan mengalami kecederaan tapi hanya kekejangan otot.

“Kita tahu padang sintetik tidak begitu mudah apabila bermain, walaupun kita cergas dengan larian-larian yang dilakukan Akhyar dah tentu akan membebankannya daripada segi kecergasan dan ia bukan kecederaan yang serius.”

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 November 2019 @ 8:32 PM

Isnin, 25 November 2019

Malaysia gagal langkah kanan, ketiadaan Safawi beri kesan

SUKAN»Bola
Isnin, 25 November 2019 | 6:04pm
 
Penyerang negara, Hadi Fayyadh (kanan) meraikan gol penyamaan bersama Akhyar Rashid (tengah) dan Lukman Hakim pada aksi peringkat Kumpulan A Sukan SEA Filipina 2019 di Stadium Memorial Rizal. - NSTP/Osman Adnan
Malaysia gagal langkah kanan, ketiadaan Safawi beri kesan
Oleh Helmi Talkah
helmi.talkah@bh.com.my
MANILA: Ketiadaan Safawi Rasid nyata memberi kesan kepada skuad bawah 22 tahun (B-22) negara apabila sekadar seri 1-1 dalam aksi sulung Kumpulan A Sukan SEA 2019 di Stadium Rizal Memorial di sini, sebentar tadi.

Pemain muda, Luqman Hakim Shamsuddin yang diberi peranan bagi mengisi tempat Safawi bagaimanapun gagal memainkan peranannya dalam formasi 3-4-3 yang digunakan pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee.

Selain Luqman, Kim Swee turut memberikan kepercayaan kepada seorang lagi pemain muda, Umar Hakeem Suhar Rezwan untuk berada dalam kesebelasan namun pengalaman menjadi pemisah buat pemain itu.

Kedua-dua pemain berusia 17 tahun itu dikeluarkan pada awal babak kedua perlawanan.

Terdahulu, Myanmar bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi tandukan penyerang, Soe Moe Kyaw yang menyudahkan sepakan sudut pada minit ke-14.

Penyerang negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak muncul penyelamat apabila menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-24 hasil hantaran Muhammad Akhyar Rashid.

Skuad negara membazirkan beberapa peluang terhidang bagi menjaringkan gol kemenangan terutama di lewat babak permainan.

Aksi kedua akan menyaksikan anak buah Kim Swee menentang tuan rumah Filipina, Jumaat ini.[1]


[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/11/631938/malaysia-gagal-langkah-kanan-ketiadaan-safawi-beri-kesan

MALAYSIA 1-1 MYANMAR


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB

Malaysia  1-1 Myanmar
m-24 Hadi Fayyadh
PEMAIN MALAYSIA
01 MUHAMMAD HAZIQ NAZLI
02 ADAM NOR AZLIN
03 DOMINIC TAN
09 HADI FAYADH
12 LUQMAN HAKIM
14 SYAMER KUTTY ABBA
15 UMAR HAKEEM
16 DANIER AMIR
17 IRFAN ZAKARIA RASHID
19 AKHYAR          
20 SYAHMI SAFARI


Sabtu, 23 November 2019

Digugurkan...titik perubahan Safawi Rasid

SUKAN»Bola
Khamis, 21 November 2019 | 5:42pm
 
Pemain pasukan Malaysia Muhammad Safawi Rasid meraikan jaringan gol bagi pasukan Malaysia pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ketika menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
Digugurkan...titik perubahan Safawi Rasid
KUALA LUMPUR: Ini bukan kali pertama bintang sensasi Harimau Malaya Muhammad Safawi Rasid diketepikan ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22), negara Datuk Ong Kim Swee dalam pasukannya.

Pada 2016, Kim Swee yang ketika itu menjawat jawatan selaku ketua jurulatih skuad kebangsaan mengambil keputusan menggugurkan nama Muhammad Safawi daripada senarai akhir pemain menghadapi saingan Piala AFF, yang menyaksikan Malaysia gagal mara ke separuh akhir.

Selepas tiga tahun, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018 dan 2019 itu kini menikmati kemuncak karier, selepas membuktikan kualiti dimiliki di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan dan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada peringkat domestik.

Pengguguran Muhammad Safawi, 22, pada waktu itu diibaratkan sebagai titik perubahan dalam kariernya, apabila selepas itu beliau bangkit dengan prestasi lebih meyakinkan dan Kim Swee mahu setiap pemain muda mencontohi kesungguhan serta sifat tidak putus asa dimiliki beliau.

“Kalau tidak silap ia (titik perubahan) pada Piala AFF 2016 di mana saya menggugurkan beliau (Muhammad Safawi) ketika itu. Apabila digugurkan, beliau kembali dengan begitu positif dan tidak berputus asa...ini memberikan beliau satu keyakinan cukup baik.

“Setiap pemain harus mencontohi Safawi, di mana apabila beliau gagal atau digugurkan, tetap kembali dengan lebih kekuatan dan kini beliau adalah pemain terbaik di negara kita,” kata Kim Swee kepada Bernama.

Kim Swee semalam mengesahkan untuk tidak menyenaraikan Muhammad Safawi dalam skuad negara ke Sukan SEA 2019 di Filipina, demi kebaikan pemain itu yang mengharungi begitu banyak perlawanan musim ini.

Bekas pemain sayap pasukan T-Team itu melakar rekod cemerlang bersama JDT musim ini, apabila meledak 20 gol dan merekodkan 10 ‘assist’ sepanjang 3,088 minit permainan membabitkan 37 penampilan.

Nama Muhammad Safawi kini menjadi sebutan seluruh peminat bola sepak tanah air, selepas meledak dua gol dalam kejayaan Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.

Kemenangan itu sekali gus membantu skuad Harimau Malaya kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, melengkapkan tahun 2019 dengan penuh gemilang.

Kim Swee yang membimbing Muhammad Safawi bersama skuad kebangsaan serta skuad B-22 negara mengakui, pemain kebangsaan itu memiliki kekuatan kaki kiri dan sering meluangkan masa sekitar 15-20 minit membuat latihan tambahan, selepas tamat sesi latihan pasukan.

“Kita dapat lihat Safawi kini berada pada tahap berbeza dan ini bukan saja daripada hasil usaha barisan jurulatih, tetapi keyakinan diri Safawi sendiri dan kesungguhan beliau yang membawanya ke tahap cukup baik ini.

“Dalam sesi latihan beliau fokus kepada setiap keadaan tetapi yang memberi kelebihan sudah tentu sepakan percumanya, di mana beliau mempunyai kesungguhan untuk berlatih (sepakan percuma) setiap hari, selepas tamat latihan.

“Apabila kita berlatih dengan baik ketika sesi latihan, ia akan berlaku serta ‘menjadi’ di setiap perlawanan,” jelas Kim Swee.

Pengguguran Muhammad Safawi mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif oleh peminat tempatan, namun apa yang pasti sebagai jurulatih, Kim Swee hanya mahukan yang terbaik buat pemain itu.

Adakah dengan keputusan Kim Swee ini, seluruh peminat bola sepak tempatan akan menyaksikan peningkatan prestasi lebih baik daripada Muhammad Safawi pada musim 2020? – BERNAMA.[1]


[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/11/630788/digugurkantitik-perubahan-safawi-rasid

Thailand kecewakan Malaysia di final B-18 Sekolah-Sekolah Asia 2019


SUKAN»Bola
Sabtu, 23 November 2019 | 7:46pm
 
Sabri (tengah) meluangkan masa bersama pasukan sebelum aksi final menentang Thailand.
Thailand kecewakan Malaysia di final B-18 Sekolah-Sekolah Asia 2019
KUALA LUMPUR: Pasukan Malaysia tewas di tangan Thailand dalam perlawanan final Kejohanan Bawah 18 Tahun (B-18) Sekolah-Sekolah Asia 2019 yang berlangsung di Stadium Batakan, Balikpapan, Indonesia petang tadi.

Keputusan tewas 1-2 meletakkan skuad kendalian Sabri Abd Saffar memperbaiki pencapaian mereka tahun lalu dengan muncul naib juara berbanding keempat pada penyertaan 2018.

Kemenangan Thailand secara tidak langsung mempertahankan gelaran juara yang dirangkul mereka tahun lalu.

Malaysia layak ke pentas final selepas menewaskan pasukan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas terikat 1-1 dalam tempoh permainan sebenar, semalam.

Dalam perlawanan separuh akhir itu, pemain negara diuji kemampuan fizikal dan mental apabila stadium dipenuhi kira-kira 40,000 penyokong tuan rumah yang masih lagi kecewa susulan kekalahan skuad senior mereka di tangan Harimau Malaya, Selasa lalu.

Pasukan Indonesia muncul ketiga terbaik kejohanan selepas menewaskan Korea Selatan 5-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat.

Selain Malaysia, Thailand, Korea Selatan dan tuan rumah, turut menyertai kejohanan edisi ke-47 kali ini adalah China, Singapura, India dan Sri Lanka.[1]



[1] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/11/631368/thailand-kecewakan-malaysia-di-final-b-18-sekolah-sekolah-asia-2019

Luqman sahut cabaran ganti Safawi

MyMetroArena
 
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my

KETIADAAN tonggak Harimau Malaya, Safawi Rasid dalam senarai pemain Bawah 22 Tahun (B-22) pantas membuka ruang dan peluang buat pemain muda terutamanya Luqman Hakim Shamsuddin untuk menyerlah di Sukan Sea Filipina.

Tanggungjawab berat harus dipikul Luqman yang mengisi posisi ditinggalkan Safawi.

Namun, Luqman tidak melihat perkara terbabit sebagai beban yang harus dipikul walaupun harapan tinggi diletakkan kepadanya untuk merobek gawang lawan.

“Secara jujur, dalam setiap perlawanan sudah pasti ada tekanan, tetapi bukan saya saja yang menjadi tumpuan atau diberikan harapan untuk menjaringkan gol. Pemain lain juga hebat.

“Saya sahut cabaran untuk menggalas tanggungjawab menggantikan Safawi dan ia bagus untuk saya menimba pengalaman demi sesuatu yang baharu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Selain itu, pemain lepasan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu berkata, dia akan membuktikan kepada pengendali B-22, Datuk Ong Kim Swee bahawa pemilihannya untuk ke temasya dwitahunan itu adalah berbaloi.

“Bermain dengan skuad bawah 19 tahun dan B-22 ada bezanya kerana saya perlu bersaing dengan pemain senior dan ia bagus dalam meningkatkan kualiti permainan. Walaupun pada peringkat awal saya terpaksa berusaha keras untuk serasi bersama pemain senior, namun perkara itu dapat diatasi dan sekarang ini sudah boleh bermain sebagai satu pasukan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 4:30 AM

Kuzain tak pergi Filipina


SUKAN»Bola
Jumaat, 22 November 2019 | 6:08pm
Gambar fail, Wan Kuzain Wan Kamal. - Foto ihsan Ooi Kin Fai
Kuzain tak pergi Filipina
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
 
KUALA LUMPUR: Messi Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal terlepas ‘tiket’ ke Sukan SEA 2019 apabila namanya tiada dalam senarai 20 pemain ke temasya di Filipina itu.

Perkembangan itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan terbabit, FAM menjelaskan pemain tengah Sporting Kansas City itu tidak dapat disenaraikan berikutan masalah dokumentasi yang tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain.

Dalam perkembangan sama, tujuh daripada 20 pemain yang disenaraikan adalah daripada skuad yang memenangi pingat perak pada Sukan SEA 2017.

Daripada tujuh pemain itu, dua daripadanya iaitu Adam Nor Azlin dan Irfan Zakaria bakal mengisi kuota pemain berusia lebih 22 tahun.[i]



[i] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/11/631079/kuzain-tak-pergi-filipina

Jumaat, 22 November 2019

Malaysia ke final Sekolah-Sekolah Asia


SUKAN»Bola
Sabtu, 23 November 2019 | 8:32am

MALAYSIA mara ke final Kejohanan Sekolah-Sekolah Asia Bawah 18 selepas menewaskan Indonesia di Balikpapan malam tadi.
Malaysia ke final Sekolah-Sekolah Asia
KUALA LUMPUR: Malaysia sekali lagi ‘menabur garam di luka’ Indonesia apabila pasukan negara menyingkirkan Indonesia pada separuh akhir Kejohanan Bawah 18 tahun (B-18) Sekolah Sekolah Asia 2019 di Stadium Batakan, Balikpapan, malam tadi.

Skuad negara yang semuanya dibarisi pemain berusia 16 tahun mengetepikan pasukan B-18 Indonesia 5-3 menerusi sepakan penalti penentuan selepas kedua dua pasukan terikat 1-1 selepas masa sebenar.

Beraksi di hadapan 40,000 penyokong tuan rumah yang masih ‘panas’ dengan kekalahan skuad senior mereka di tangan Harimau Malaya, Selasa lalu, anak buah Sabri Abd Saffar seharusnya dipuji apabila berjaya menguatkan mental untuk berdepan provokasi melampau daripada penyokong Indonesia

Malah, mereka turut berdepan dugaan apabila terpaksa tiba lewat ke stadium susulan masalah keselamatan selain penyokong tuan rumah yang tidak menghormati lagu ‘Negaraku’, mengeluarkan laungan yang tidak enak untuk didengari dan balingan botol ke dalam padang sepanjang perlawanan berlangsung.

Bagaimanapun, pemain muda negara membuktikan mereka berada pada kelas tersendiri sekalipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain dan jaringan kemenangan mereka dibatalkan kerana bola dikatakan terkena tangan pemain Malaysia sebelum jaringan dilakukan.

Dan seperti ‘kebiasaan’ selepas tamat perlawanan menentang Indonesia di tempat lawan, pemain Malaysia dihujani dengan balingan botol oleh penyokong Indonesia yang jelas tidak dapat menerima satu lagi kekalahan pasukan mereka di tangan Malaysia.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia mara ke final untuk menempah pertemuan bersama Thailand sekali gus memperbaiki pencapaian edisi lalu yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di tempat keempat.[i]


[i] https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2019/11/631200/malaysia-ke-final-sekolah-sekolah-asia

Khamis, 21 November 2019

Kaki kiri Safawi cukup bahaya'

MUHAMMAD AFHAM RAMLI | | 20 November 2019
Pengendali sementara Indonesia, Yeyen Tumena mengakui bakat luar biasa yang dimiliki pemain sayap negara, Muhammad Safawi Rasid. - FOTO ZAHID IZZANI

PENGENDALI sementara Indonesia, Yeyen Tumena mengakui bakat yang dimiliki pemain sayap negara, Muhammad Safawi Rasid adalah sangat luar biasa.
Pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Safawi memastikan kemenangan skuad Harimau Malaya dengan menjaringkan dua gol pada minit ke-29 dan ke-72 sekali gus merangkul kemenangan ketiga daripada lima perlawanan dan memacu Malaysia ke tempat kedua dengan sembilan mata.

"Saya sudah melihat dia (Safawi) semasa Sukan Asia tahun lalu di Indonesia. Dia bermain bagus dan berjaya mencipta gol semasa menentang Korea Selatan dan dari situ saya lihat dia sebagai pemain yang baik bila bola di kakinya.

"Kaki kirinya sangat bahaya, itu satu bakat yang luar biasa buat Malaysia," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan malam tadi.

Mengulas tentang kekalahan skuad Garuda, Yeyen berkata, pemainnya gagal memanfaatkan peluang dan dua gol yang dihasilkan Malaysia adalah 'hadiah' daripada anak didiknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Harimau garang jinakkan Garuda

Apa pun, beliau tetap memuji pemainnya kerana kerja keras dan berusaha bermain mengikut taktikal yang diberikan biar pun keputusan tidak memihak pasukannya.

"Saya ucapkan selamat buat Malaysia yang menguasai permainan biar pun kita memiliki banyak peluang dan bergerak lebih efektif.

"Tentang kegagalan penalti itu, bagi saya semua pemain boleh gagal melakukannya. Lionel Messi... Diego Maradona pun pernah gagal. Kalau hendak kata penalti itu detik kebangkitan, saya setuju. Apa pun itu pertandingan dan keputusan 90 minit itu sudah ada dan kita tak boleh mengubahnya," katanya.

Sementara itu, pemain penyerang, Febri Hariyadi berkata, pemain sudah bekerja semaksimum mungkin, tetapi keputusan tidak memihak kepada mereka.

'Berkat doa ibu, Safawi berjaya harumkan nama Malaysia'

AIMAN SADIQ ABDULLAH | | 20 November 2019
 
Perkongsian Safawi di laman Instagramnya kini tular di media sosial yang meraih 238,000 tontonan.

SHAH ALAM - Skuad Harimau Malaya berjaya membenamkan Garuda 2-0 dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.


Rembatan kegemaran kaki kiri, Safawi Rasid ternyata membuahkan hasil apabila berjaya menjaringkan dua gol kemenangan pada minit ke-29 dan 72 yang telah meletakkan Malaysia di kedudukan kedua dalam kumpulan.

Baru-baru ini, Safawi melalui laman Instagramnya telah memuat naik video memaparkan ibunya bersyukur setelah anaknya itu dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019.

Ibunya yang sebak dengan kejayaan Safawi turut mendoakan supaya Safawi dapat melakukan yang terbaik dalam perlawanan yang akan datang.

"Alhamdulillah anak ma dapat anugerah yang terbaik...ma bersyukur sangat pada ALLAH...semoga buat yang terbaik insya-ALLAH,” kata ibunya.


Antara reaksi netizen yang mengatakan kemenangan Safawi adalah berkat doa seorang ibu.
Safawi juga dalam video tersebut turut memuat naik posting memberitahu "Bermakna padaku. Terima kasih Ma (ibunya) dan keluargaku," tulisnya di Instagram.

Perkongsian video tersebut kini tular di media sosial yang meraih 238,000 tontonan dan rata-rata netizen mengatakan kemenangan Safawi adalah berkat doa seorang ibu.

"Berkat doa ibumu Pawi mu berjaya mengharumkan nama Malaysia. Air mata itu berkat daripada ALLAH yang memberikan keizinan untukmu berjaya dalam sukan bola sepak. Teruskan usaha mu Pawi," kata Amri Zul.

Dalam pada itu, Zainah Ramlie menulis "Patutlah dia merupakan pemain Malaysia yang dilihat berpotensi untuk pergi jauh dalam sukan bola sepak. Berkat ibumu Pawi kamu berjaya sehingga ke hari ini.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/58165/BERITA/Sukan/Berkat-doa-ibu-Safawi-berjaya-harumkan-nama-Malaysia
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf


Terima kasih coach!

RAHAYU MUSTAFA | | 21 November 2019
 
Safawi ketika meraikan jaringan gol kemenangan Malaysia ketika menewaskan Indonesia 2-0 pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa lalu. - Foto: Bernama

HERO Harimau Malaya, Safawi Rasid berterima kasih kepada pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee kerana menggugurkan namanya daripada senarai pemain bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina hujung bulan ini.


Bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengakui dia berasa penat untuk beraksi selepas terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat sepanjang tahun ini, baik ketika menyarung jersi kelabnya mahupun skuad negara.

“Tahun ini saya banyak game (perlawanan), dari awal tahun sampai sekarang baru break (rehat). Saya berterima kasih kepada ketua jurulatih (Kim Swee) bagi saya rehat,” katanya ketika ditemui di Dungun hari ini.

Safawi berkata, meskipun tanpa kehadirannya dalam skuad B-22 negara, dia percaya masih ramai pemain muda berbakat yang boleh mengisi kekosongan tersebut dan meraih kejayaan pada Sukan SEA kali ini.

"Saya percaya rakan-rakan yang dipanggil menyertai skuad B-22 negara mampu menggalas tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik. Ini perluang terbaik buat mereka membuktikan kemampuan masing-masing," ujarnya.

Terdahulu, Kim Swee dengan berat hati terpaksa menggugurkan Safawi yang baru dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 demi kebaikan pemain sayap lincah JDT itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ong Kim Swee gugur Safawi

Safawi bukan pertama kali diketepikan Kim Swee

Pengguguran Safawi mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif oleh peminat dan penyokong bola sepak tempatan, namun sebagai jurulatih, Kim Swee hanya mahukan yang terbaik buat pemain berusia 22 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu.

"Kita dapat lihat Safawi kini berada pada tahap berbeza dan ini bukan sahaja daripada hasil usaha barisan jurulatih tetapi keyakinan diri Safawi sendiri dan kesungguhan dia yang telah membawanya ke tahap cukup baik ini.

"Dalam sesi latihan, dia fokus kepada setiap situasi tetapi yang memberi kelebihan sudah tentu sepakan percumanya yang mana dia mempunyai kesungguhan untuk berlatih (sepakan percuma) setiap hari selepas tamat latihan.

"Apabila kita berlatih dengan baik ketika sesi latihan, ia akan berlaku serta ‘menjadi’ dalam setiap perlawanan," jelas Kim Swee.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketiadaan Safawi dirasai, kata Luqman Hakim
SUMBERArtikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/58456/BERITA/Sukan/Terima-kasih-coach!
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf