Bukit Jalil: Jurulatih Harimau Malaya
Dollah Salleh mengingatkan anak buahnya supaya waspada dengan corak permainan
pantas Myanmar meskipun beliau yakin sudah mempunyai rancangan tersendiri untuk
memerangkap lawan pada pertemuan pertama saingan Kumpulan B Piala AFF di
Stadium Jalan Besar, Ahad ini.
Menurut pengendali berusia 51
tahun itu, beliau sudah mengumpul segala maklumat mengenai kekuatan Myanmar
yang kini menggunakan khidmat bekas jurulatih Singapura Radojko Avramovic,
hasil intipannya ketika pusingan kelayakan Piala AFF di Laos Oktober lalu.
“Saya saksikan dua perlawanan
Myanmar pada pusingan kelayakan sebelum ini dan sudah tahu serba sedikit
kekuatan dan kelemahan mereka.
“Myanmar cukup bahaya ketika
melancarkan serangan balas pantas, tapi kita juga mempunyai strategi tersendiri,”
kata Dollah pada sesi latihan terakhir skuad kebangsaan semalam sebelum
berangkat ke Singapura hari ini.
Dollah berkata, Myanmar yang
layak beraksi dalam Kumpulan B selepas muncul juara kumpulan pusingan kelayakan
memiliki pemain bagus terutama penyerang berusia 21 tahun, Kyaw Ko Ko.
“Saya lihat mereka mempunyai
kekuatan di bahagian serangan khususnya pemain jersi nombor 10 (Ko Ko).
“Tapi saya tidak letak pemain
tertentu untuk menyekat pergerakannya cuma saya ingatkan pemain pertahanan
supaya berhati-hati,” kata bekas pemain kebangsaan itu.
Selepas mengadakan latihan
selama empat hari di padang rumput tiruan Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit
Jalil, Dollah nyata lega peningkatan prestasi ditunjukkan 22 pemainnya.
Bekas jurulatih Polis Diraja
Malaysia (PDRM) itu percaya anak buahnya sudah bersedia untuk beraksi termasuk
pemain perancang, Safiq Rahim yang semakin cergas daripada kecederaan.
“Ini hari terakhir kami
berlatih di padang rumput tiruan dan pemain sudah mula menyesuaikan diri.
“Saya lihat ada peningkatan
persefahaman pemain dan percaya kami akan membuktikan sesuatu nanti,” tegas
Dollah yang dikritik hebat susulan keputusan buruk aksi persahabatan sebelum
ini.
Artikel ini disiarkan pada :
Jumaat, 21 November 2014 @ 5:09 AM
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/10601#sthash.oSNtof9c.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan