Harimau sedia mengaum, Safee kembali beraksi
26 November 2014 1:21 AM
SINGAPURA 24 NOVEMBER 2014 -
Pemain Harimau Malaya, Safiq Rahim (dua kanan) bersama Mohd Azmi Muslim (kanan)
menjalani latihan bagi persiapan perlawanan kedua Kumpulan B Piala AFF Suzuki
2014 menentang Thailand Rabu ini, di Stadium Serangoon, di sini, hari ini.
Gambar: Abdul Razak Latif / Pemberita: Dayne (Sukan) / Ahmad Fazli (Sukan
Kosmo).
SINGAPURA - Selepas diketepikan
daripada pertemuan menentang Myanmar, sentuhan penyerang, Safee Sali mungkin
ditagih pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh dalam usaha membentuk ramuan
terbaik untuk menjinakkan Thailand pada aksi kedua Piala AFF di Stadium Jalan
Besar, hari ini.
Turun dengan misi mencari tiga
mata bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir, anak-anak buah Dollah berjanji
untuk memberi tentangan terbaik bagi menutup mulut pengkritik yang sudah banyak
menjatuhkan hukuman sebelum Piala AFF bermula lagi.
Walaupun sekadar mengutip satu
mata semasa bertemu Myanmar, Ahad lalu, Dollah berjanji akan memberi
berhabis-habisan menentang skuad Gajah Putih tanpa mempedulikan reputasi yang
dibawa juara tiga kali itu.
“Kami telah mengkaji kekuatan
dan kelemahan Thailland semasa bertemu Singapura. Saya percaya sesuatu akan
berlaku dalam perlawanan dengan mereka.
“Tidak dinafikan Thailand
semakin baik dan saya akui mereka pasukan pilihan, namun itu tidak bermakna
kami mahu mengalah.
“Mereka pantas kerana
membariskan ramai pemain muda, dan itulah yang membawa mereka ke separuh akhir
Sukan Asia di Incheon. Mereka juga akan dibantu beberapa pemain berpengalaman,
jelas kami perlu berada di kemuncak prestasi jika mahu mengalahkan mereka,”
kata Dollah.
Mengharapkan badi kad merah
yang diterima dalam tiga perlawanan tidak berulang, Dollah menegaskan, tiada
dalam perancangannya mengarahkan pemain bermain secara fizikal ke atas lawan.
“Tidak pernah saya mengarahkan
pemain bermain kasar, bukan senang untuk beraksi dengan 10 pemain dan saya
harap kami dapat tamatkan permainan esok dengan 11 pemain,” katanya.
Dalam sesi latihan di Stadium
Jalan Besar semalam, Dollah mencuba pelbagai strategi dengan meletakkan Safee
di barisan serangan bersama Norshahrul Idlan Talaha, manakala Mohd. Amri Yahyah
bertindak selaku sayap kanan.
Ada kemungkinan Indra Putra
Mahayuddin diletak di sayap kiri, manakala gandingan pertahanan, Afif Amiruddin
dan Mohd. Fadhli Shas kekal selepas beraksi cemerlang ketika berdepan Myanmar.
Sementara itu kapten Harimau
Malaya, Shukor Adan berjanji tidak akan keciciran mata lagi bagi mendapatkan
bekalan selesa sebelum melakukan perhitungan akhir dengan tuan rumah,
Singapura pada Sabtu ini.
“Kami tidak boleh keciciran
mata lagi. Walaupun Thailand tampil sebagai satu unit yang bagus, kami bakal
gandakan persembahan.
“Moral kami masih tinggi, malah
semakin bersemangat.
“Tunggu saja esok petang (hari
ini) dan kami akan cuba memberi kejutan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jaga-jaga-thailand-1.29243#sthash.KYVTwyOl.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan