Ahad, 16 November 2014

Beri peluang kepada Dollah Salleh – FAM

16 November 2014 12:25 AMKOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap optimis skuad kendalian Dollah Salleh mampu mempamer persembahan terbaik dalam Kejohanan AFF 2014 di Singapura nanti.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Affandi Hamzah berkata, kekalahan 0-3 kepada Syria dalam perlawanan persahabatan Rabu lalu bukan ukuran sebenar kemampuan pasukan Harimau Malaya.
Menurutnya, perlawanan persahabatan kedua menentang Vietnam hari ini akan menjadi ujian buat Dollah dan diharapkan peminat terus memberi peluang kepadanya serta menyokong pasukan negara.
“Saya yakin dengan persiapan yang telah dijalankan skuad Harimau Malaya akan mempamer aksi terbaik dalam Kejohanan AFF,” katanya kepada pemberita selepas Kongres Tahunan Persatuan Bola Sepak Kelantan Kali Ke-60 di sini semalam.
Harimau Malaya akan menentang Vietnam dalam perlawanan persahabatan di Stadium My Dinh, Hanoi hari ini.
Perlawanan berkenaan adalah sebagai persiapan terakhir Harimau Malaya sebelum beraksi dalam Kejohanan AFF dari 23 hingga 29 November di Singapura.
Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen kejohanan dengan berdepan Myanmar pada 23 November, diikuti pertemuan dengan Thailand di Stadium Jalan Besar.
Skuad negara akan menamatkan aksi pusingan awal dengan menentang Singa­pura di Stadium Nasional pada 29 November.
Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang diadakan mengikut format timbal balik.
Vietnam yang menjadi tuan rumah bersama pula diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Filipina, Indonesia dan Laos.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/beri-peluang-kepada-dollah-salleh-8211-fam-1.24994#sthash.8EHEWtaU.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan