Latihan di Stadium Jalan Besar dipindahkan ke padang sekolah
22 November 2014 1:50 AM
SINGAPURA 21 NOVEMBER 2014 -
Pemain Harimau Malaya menjalani latihan bagi persiapan menjelang perlawanan
pertama Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 menentang Myammar Ahad ini, di Sekolah
Sukan Singapura, di sini, hari ini. Gambar: Abdul Razak Latif / Pemberita:
Dayne (Sukan) / Ahmad Fazli (Sukan Kosmo).
SINGAPURA - Perancangan awal
pengendali Harimau Malaya, Dollah Salleh untuk menguji Stadium Jalan Besar
semalam terbantut apabila tuan rumah menukar sesi latihan sulung Piala AFF
Suzuki ke Sekolah Sukan Singapura.
Biarpun sedikit ralat kerana
pelan asalnya terganggu, Dollah masih mampu tersenyum kerana pihak penganjur
masih memberikan mutu padang yang hampir setanding seperti Jalan Besar.
Tidak termakan cara psikologi
pihak lawan, beliau tetap mahu berfikir positif kerana masih diberi ruang
bermain di Jalan Besar hari ini, sehari sebelum perlawanan sebenar berdepan
Myanmar, petang esok.
“Sepatutnya kami melakukan
latihan di Jalan Besar hari ini, namun ada perubahan di saat akhir maka kita
dijadualkan mengadakan latihan di sini sahaja dahulu.
“Walaupun hajat saya untuk
menguji permukaan Jalan Besar tidak kesampaian, itu bukan satu masalah besar
kerana sekurang-kurangnya masih mempunyai kesempatan pada hari esok (hari ini).
“Padang di sini lagi baik
daripada padang Bukit Jalil, namun berdasarkan maklumat yang saya dapat, Jalan
Besar lebih baik daripada sini.
“Yang penting, pemain semua
bebas daripada masalah kecederaan dan saya boleh menggunakan sesiapa sahaja
bagi aksi pertama berdepan Myanmar,” katanya pada sesi latihan semalam.
Semangat pemain Harimau Malaya
tampak berkobar-kobar pada sesi latihan semalam walaupun mereka baru sampai ke
Singapura beberapa jam sebelum turun ke padang Sekolah Sukan Singapura.
Dollah memberikan kredit kepada
pemain yang tidak kenal erti penat memandangkan masa semakin suntuk sebelum
turun berdepan Myanmar.
“Memang kalau diikutkan, semua
pemain masih kepenatan kerana kerap kali menempuh perjalanan dengan baru balik
dari Vietnam dan beberapa hari kemudian datang ke sini.
“Namun, saya dan semua pemain
kena berusaha kuat dalam waktu yang ada ini bagi memperbaiki kelemahan sedia
ada supaya kita mampu berikan saingan kepada Myanmar,” katanya.
Satu aspek positif yang boleh
memberi kelegaan kepada Dollah adalah pemain dilihat berada dalam kecergasan
terbaik.
Malah, mental dan mood pemain
kini berada di tahap maksimum bagi menggempur habis-habisan Myanmar dalam
memburu tiga mata sulung. – UTUSAN
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-tak-payah-psiko-kami-8217-1.27557#sthash.HhWD47CZ.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan