Ahad, 23 November 2014

Saya bersalah – Gary


 
Saya bersalah – Gary
MUHAMMAD DAYNE AZMIN  |  24 November 2014 2:12 AM

SINGAPURA - Hanya permohonan maaf sahaja mampu dilafazkan oleh pemain tengah negara Gary Steven Robbat ekoran insiden kad merah ketika berdepan Myanmar yang menjejaskan peluang Harimau Malaya untuk meraih tiga mata dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B, Piala AFF di Stadium Jalan Besar semalam.
 PEMAIN Malaysia, Gary Steven Robbat (kiri) cuba membantah keputusan pengadil yang memberikan kad merah kepadanya sewaktu menentang Myanmar dalam kempen Piala AFF di Stadium Jalan Besar, Singapura semalam. – utusan /Abdul Razak Latif
Bukan bermaksud mahu menyusahkan rakan-rakan sebaliknya pemain berusia 22 tahun itu mengakui dia beraksi agak ke­ras yang me­nyebabkan pengadil melayangkan dua kad kuning terhadapnya.

“Saya minta maaf kepada rakan-rakan kerana menyusahkan mereka apabila terlalu awal saya dapat kad merah. Bagi saya pemberian kad merah itu adil kerana saya beraksi terlalu keras hari ini.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kerana rakan-rakan saya dapat bertahan untuk memastikan gawang kami tidak bolos dan membawa pulang satu mata berharga,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Menjelaskan situasi yang menyebabkan dia mendapat kad ku­ning kedua ekoran selepas me­lakukan kekasaran terhadap Kyi Lin pada minit ke-35, Gary berkata, bola pada masa itu dalam keadaan 50-50.

“Semasa saya mendapat kad kuning kedua itu, saya dan dia (Kyi Lin) dalam keadaan 50-50 mendapatkan bola, kaki saya cuma ter­kena sedikit kakinya.

“Sebenarnya bukan keras sangat terjahan yang dilakukan namun itu keputusan pengadil, nampaknya saya terpaksa lupakan perlawanan akan datang dan fokus pada aksi terakhir kumpulan,” katanya.

Gary menjadi pemain ketiga yang menerima kad merah dalam tiga perlawanan Harimau Malaya berturut-turut selepas Mohd. Fadh­li Shas ketika berdepan Syria dan Muslim Ahmad pada perlawanan dengan Vietnam 16 November lalu.

Sementara itu ketua pasukan Shukor Adan berpuas hati kerana usaha mereka berjuang bermati-matian demi memastikan maruah skuad negara tidak tercalar setidak-tidaknya memberikan satu mata walaupun beraksi dengan 10 pemain.

“Kami telah berikan apa yang termampu dan berusaha sehabis baik demi maruah negara, syukur gawang kami tidak bolos pada malam ini.

“Keputusan ini masih baik kerana kami meraih sekurang-kurang­nya satu mata walaupun kami memasang hajat mendapatkan tiga mata.

“Laluan masih terbuka buat kami untuk mara daripada kumpulan ini dan apa yang mustahak kami gandakan lagi aksi kami serta tidak boleh beraksi sebegini,” katanya.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/saya-bersalah-8211-gary-1.28435#sthash.V1vUCm0P.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan