Khamis, 20 November 2014

Dollah Salleh risau kad merah

SUFIAN HADI MOHD. SOJAK  |  20 November 2014 3:15 AM


KETUA pasukan Harimau Malaya, Shukor Adan (tengah) mengetuai rakan-rakan
KETUA pasukan Harimau Malaya, Shukor Adan (tengah) mengetuai rakan-rakan
KETUA pasukan Harimau Malaya, Shukor Adan (tengah) mengetuai rakan-rakan sepasukannya membuat senaman ringan sebelum memulakan sesi latihan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam, menjelang Kejohanan AFF yang akan bermula di Singapura Ahad ini. – UTUSAN/Roy Azis Abd. Aziz
KUALA LUMPUR - Kad merah demi kad merah yang dikutip pemain skuad Harimau Malaya dalam beberapa perlawanan persahabatan membuatkan Dollah Salleh bimbang perkara sama berulang dalam Kejohanan AFF di Singapura kelak.
Insiden Mohd. Fadhli Shas dan Mohd. Muslim Ahmad dibuang padang ketika bertemu Syria dan Vietnam baru-baru ini telah membuatkan jurulatih Harimau Malaya itu gusar pasukannya akan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain sekali gus menjejaskan peluang mereka jika anak-anak buahnya tidak berhati-hati.
Tambah meresahkan jurulatih itu ialah dua pemain yang mene­rima kad merah itu ialah dari bahagian pertahanan.
Apa yang mampu diharapkan oleh Dollah pada hari-hari terakhir persediaan mereka sebelum ke seberang tambak esok ialah anak-anak buahnya telah mempelajari sesuatu daripada dua insiden tersebut dan menasihati agar mereka tidak mengulanginya.
“Sebagai jurulatih saya memang risaukan keadaan tersebut. Biarlah kita habiskan perlawanan dengan 11 pemain dan bukannya kekurangan pemain.
“Saya risau kalau ada di antara mereka yang dibuang padang.
“Tetapi takkanlah saya nak suruh mereka supaya jangan terjah? Nanti mereka pula yang takut nak membuat terjahan.
“Yang penting saya mahu mereka semua berhati-hati dalam membuat sesuatu tindakan,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Bukit Jalil semalam.
Katanya, perkara itu lebih merisaukannya berbanding isu akan beraksi di atas rumput tiruan di Stadium Jalan Besar dalam dua perlawanan awal.
Katanya, pemain sudah pun membiasakan diri dengan latihan di Majlis Sukan Negara yang mempunyai fasiliti padang sintetik.
“Kadang-kadang saya khuatir juga berkaitan keadaan padang di sana, tetapi pasukan lain seperti Myanmar dan Thailand juga menghadapi hal yang sama.
“Jadi, ketiga-tiga pasukan ada masalah yang sama. Maka kami tidak boleh memberi alasan lagi (untuk mempersembahkan prestasi terbaik),” katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B dan akan menentang Myanmar dalam perlawanan pertama masing-masing pada Ahad ini.
Satu lagi perlawanan iaitu antara tuan rumah Singapura dengan Thailand akan berlangsung di atas permukaan rumput asli di Stadium Nasional.
Perlawanan kedua Harimau Malaya iaitu menentang Thailand juga akan berlangsung di Stadium Jalan Besar sebelum mereka bertemu Singapura di Stadium Nasional.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/dollah-salleh-risau-kad-merah-1.26841#sthash.5BQueKR0.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan