Kuala Lumpur: Apa lagi yang
mahu diperkatakan apabila skuad Harimau Malaya kalah buat kali kedua
berturut-turut dalam tempoh seminggu dan terbaru tumpas di tangan Vietnam 1-3
dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi
semalam.
Ia persiapan terburuk pasukan
kendalian Dollah Salleh itu menjelang kempen Piala AFF di Singapura 23 November
ini selepas kecundang kepada Syria 0-3 di Stadium Shah Alam Rabu lalu dalam
satu lagi aksi pemanas badan.
Segalanya bermula baik buat
skuad kebangsaan pada babak pertama apabila mendominasi permainan biarpun
Dollah membuat sedikit rombakan dalam kesebelasan utama dengan menurunkan
pemain pertahanan tengah Mohd Afif Amiruddin menggantikan Mohd Fadhli Shas yang
digantung perlawanan, Zubir Azmi mengambil posisi Mohd Azmi Muslim di
pertahanan kiri manakala pemain Harimau Muda A, Gary Steven Robbat mengambil
peranan Baddrol Bakhtiar di bahagian tengah.
Kesungguhan pemain negara
berbaloi apabila mendahului menerusi penyerang Mohd Amri Yahyah pada minit
ke-22 selepas mencipta gerakan bersama gandingannya Norshahrul Idlan Talaha.
Malah mereka boleh menambah
sekurang-kurangnya empat lagi gol menerusi percubaan Norshahrul, Azamuddin Akil
dan S Kunanlan namun gagal menepati sasaran.
Kegagalan mereka mencari
kedudukan selesa itu akhirnya membawa padah apabila derita buat anak buah
Dollah menanti pada separuh masa kedua dengan Vietnam, tuan rumah Kumpulan A
Piala AFF mencipta kebangkitan.
Serangan pantas Vietnam sebaik
permainan bersambung nyata berhasil dengan Mac Hung Guan menjaringkan gol
penyamaan selepas menolak masuk bola lantunan percubaan Nguyen Van Quyet yang
ditepis penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.
Tidak cukup dengan gol itu, malang
terus menimpa Harimau Malaya apabila pertahanan tengah Mohd Muslim Ahmad
dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Singapura Foo Chuan Hui kerana menarik
Van Quyet yang cuba membawa bola masuk ke dalam kotak penalti.
Beraksi dengan 10 pemain,
seperti yang dialami ketika menentang Syria sebelum ini nyata memberi tekanan
kepada Malaysia yang membenarkan skuad Vietnam kendalian jurulatih dari Jepun,
Toshiya Miura menambah gol kedua pada minit ke-56 menerusi sepakan penalti Van
Quyet.
Harapan Harimau Malaya untuk
sekurang-kurangnya meraih keputusan seri tampak sudah tertutup pada minit ke-80
apabila pemain gantian Nge Hoang Thinh meledak gol ketiga buat juara Piala AFF
2008 itu.
Kekalahan keempat dalam lima
perlawanan antarabangsa di bawah kendalian Dollah pasti memberikan gambaran
jelas buat bekas pemain kebangsaan itu betapa beliau berdepan tugas mencabar
untuk mempersiapkan pasukan bagi mengharungi saingan Kumpulan B Piala AFF
menentang Myanmar, Thailand dan Singapura.
Artikel ini disiarkan pada :
Isnin, 17 November 2014 @ 5:04 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan