Selasa, 25 November 2014

Apex yakini Mat Yo, mahu kubu lebih kebal

Wartawan Sinar Harian
23 November 2014
Apex percaya Mat Yo mampu meledak jaringan.
    Apex percaya Mat Yo mampu meledak jaringan.  

PENJAGA gol Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat yakin rakan seperjuangannya Norshahrul Idhlan Talaha mampu mempamerkan aksi berkualiti membantu pasukan mencapai kemenangan menjelang aksi pertama Kumpulan B menentang Myanmar dalam saingan Piala Suzuki AFF 2014, hari ini.

Jelasnya, keyakinan ini berdasarkan persembahan Norshahrul pada dua aksi persahabatan sebelum ini walaupun skuad kebangsaan tewas.

"Saya percaya Norshahrul kini berada dalam prestasi terbaik dengan ketajaman  penyudah, corak permainan dan keyakinan antara kelebihan dimilikinya.

"Benteng lawan pastinya gerun apabila bola berada di kakinya, pemain di bahagian serangan perlu menjaringkan lebih banyak gol kerana ia yang akan menentukan kemenangan menjadi milik pasukan.

“Bagi saingan kali ini memang kami perlu bekerja lebih keras demi mengembalikan semula imej Harimau Malaya yang tercalar selain mendapat semula keyakinan penyokong,” katanya.

Khairul Fahmi yang mesra dengan panggilan Apex menuntut barisan pertahanan lebih kebal bagi memastikan kemenangan.

“Memang saya sangat harapkan barisan pertahanan yang akan diketuai Muslim Ahmad dapat bentuk kombinasi yang baik.

“Jadi, saya harap dengan latihan yang sudah kita jalankan dapat meningkatkan persefahaman antara pemain pertahanan dan mampu menjadikan kubu Harimau Malaya lebih kebal. Kita punyai ramai pertahanan yang hebat tapi mungkin mereka menghadapi sedikit masalah keserasian dan ia perlu diperbaiki sepenuhnya,” katanya .
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 23.11.2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan