29 November 2014 12:55 AM
DOLLAH SALLEH (kiri) dan Bernd
Stange bersalaman pada sidang akhbar
DOLLAH SALLEH (kiri) dan Bernd
Stange bersalaman pada sidang akhbar semalam menjelang perlawanan terakhir
Kumpulan B Piala AFF antara Malaysia menentang Singapura, malam ini.
SINGAPURA – Cuak? Bimbang?. Itu
reaksi yang ditunjukkan jurulatih Singapura, Bernd Stange apabila dia
menggambarkan Harimau Malaya ibarat haiwan liar yang terluka menjelang aksi
terakhir Kumpulan B Piala AFF di Stadium Nasional, Kallang, malam ini.
Katanya, selepas mengharungi
aksi persahabatan yang hambar, selain gagal mencatat kemenangan dalam kempen
Piala AFF, Malaysia pastinya terdesak untuk melakukan kebangkitan.
Pengendali dari Jerman berusia
66 tahun itu berkata, pasukannya harus berwaspada dengan kejutan yang bakal
ditampilkan Harimau Malaya.
Enggan mengambil sikap terlalu
yakin, Stange yang pernah mengendalikan skuad kebangsaan Belarus juga menambah,
pasukan kendalian Dollah Salleh pasti mahu mencalar maruah Singapura di hadapan
55,000 penyokong sendiri.
“Pertembungan esok (hari ini)
penting buat kedua-dua pasukan dan saya juga menghormati kemampuan Malaysia.
“Apa yang boleh saya katakan,
Malaysia ibarat haiwan liar yang terluka selepas sering kalah dalam aksi
persahabatan dan gagal menyerlah dalam kejohanan ini.
“Mereka pasti mahu bangkit dan
situasi itu boleh membahayakan kami dalam perlawanan esok. Saya sama sekali
tidak akan ambil mudah,” kata Stange.
Dalam masa sama, Stange
mendedahkan tiada sebarang rahsia antara kedua-dua pasukan menjelang
pertembungan malam ini kerana masing-masing sudah masak dengan kekuatan,
kelemahan serta strategi yang akan digunakan.
Dia juga mendedahkan selalu
meluangkan masa menonton aksi pasukan dari Liga Malaysia tiap kali bertandang
ke Stadium Jalan Besar, selain mendapatkan maklumat terkini daripada para
pembantunya mengenai pasukan negara.
“Saya sudah menyaksikan banyak
aksi pemain Malaysia di Jalan Besar jadi saya sudah tahu serba sedikit mengenai
mereka.
“Dalam masa sama, beberapa
jurulatih saya seperti Aide Iskandar dan Fandi Ahmad sentiasa memberikan
maklumat,” katanya.
Singapura yang memulakan Piala
AFF dengan kekalahan 1-2 kepada Thailand, mencatat kemenangan pertama 4-2 ke
atas Myanmar kelmarin.
Namun kejayaan tiga mata itu
dibayar dengan harga mahal ekoran Shahdan Sulaiman patah buku lali, sementara
Baihakki Khaizan, digantung satu perlawanan. – UTUSAN
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-malaya-ibarat-8216-haiwan-liar-8217-8211-stange-1.30387#sthash.yyC8GZnn.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan