29 November 2014 1:04 AM
harimau malaya
PEMAIN Harimau Malaya bersedia
membawa misi hidup mati menentang Singapura dalam perlawanan terakhir Kumpulan
B Piala AFF di Stadium Nasional, Kallang malam ini.
SINGAPURA - Kemenangan hari ini
bukan saja penting buat Malaysia untuk menempah tiket ke separuh akhir Piala
AFF, malah Harimau Malaya mahu mendiamkan laungan keramat ‘Sorakan Kallang’
penyokong Singapura di Stadium Nasional, Kallang.
Misi dua dalam satu yang
digalas kapten, Shukor Adan dan rakan-rakan bukan mustahil untuk dilakukan
kerana semangat mereka untuk menebus kekalahan 2-3 kepada Thailand kini amat
membara.
Hanya kemenangan mampu membawa
Malaysia mara, selain mengharapkan Thailand menyekat Myanmar daripada meraih
tiga mata.
Pengendali Harimau Malaya,
Dollah Salleh berjanji akan melakukan sesuatu kerana Singapura dianggap ‘musuh
setempat’ dan maruah negara turut menjadi pertaruhan.
“Kami serius menghadapi
perlawanan ini demi rakyat Malaysia. Kami akan cuba melakukan sesuatu untuk
mendapatkan kemenangan.
“Tugas ini bagaimanapun tidak mudah
kerana Singapura mendapat kelebihan beraksi penuh semangat di depan 30,000
penyokong mereka, namun saya percaya sesuatu akan berlaku,” kata Dollah.
Katanya lagi, penyerang
berbisa, Norshahrul Idlan Talaha, tidak mencapai tahap terbaik dalam dua perlawanan
pertama tetapi dijangka kembali menggegar apabila beraksi di atas padang
rumput buat kali pertama.
“Dia sebenarnya tidak
menampilkan corak yang saya mahu, namun dia berjanji kepada saya akan melakukan
sesuatu apabila bertemu Singapura kerana lebih yakin bermain di atas padang
rumput,” katanya.
S. Kunanlan mungkin diketepikan
hari ini kerana belum pulih daripada kecederaan dan tempatnya diambil Azamuddin
Akil. Mohd. Muslim Ahmad pula menguatkan benteng pertahanan.
Pertahanan PDRM itu dijangka
berganding dengan Shukor Adan, manakala Mohd. Fadhli Mohd. Shas serta Afif
Amiruddin bakal direhatkan.
- Sumber:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ayuh-harimau-mengaum-1.30432#sthash.blFnWxdp.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan